Selasa,21 Oktober 2014

Sehari tanpa internet

Oleh Shuhada Mansor

Zaman sekarang, semua orang perlukan Internet. Dari sekecil budak sekolah rendah hingga mereka berstatus nenek, Internet menjadi pembantu dan penyeri rutin seharian. Tak kiralah sama ada digunakan untuk bermain ‘game’, mencari resipi, tutorial tudung hinggalah menonton filem, drama, apa saja boleh didapati di hujung jari. Inilah makna sebenar dunia tanpa sempadan.

Ibarat makan nasi tanpa lauk

Sebilangan orang ibaratkan hidup tanpa Internet seperti ‘makan nasi putih tanpa lauk’. Jalani kehidupan seharian seperti biasa tetapi akan dapat rasa kekosongan terhadap sesuatu dan sudah pasti ia berkaitan akses kepada Internet. Realitinya, cacat rutin seharian apabila ‘nikmat dunia’ ini ditarik sementara waktu.

Pernahkah anda terfikir apakah akan berlaku sekiranya kecanggihan teknologi ciptaan manusia ini ‘mati’ selama sehari? Tiada Google, Yahoo, Youtube, blog, Wikipedia dan bermacam lagi enjin carian lain yang selama ini mendampingi kita. Apa yang akan anda lakukan untuk isi yang selalunya dihabiskan dengan melayari Internet?


Bagi yang suka sangat ‘bercinta’ dengan telefon, buat apa saja dengan telefon pintar di tangan, pasti akan mati kutu. Facebook, Twitter, Instagram dicatu boleh buatkan hati rasa gundah-gulana.



Kes bunuh sebab internet

Kes dilaporkan di Seoul, Korea Selatan apabila polis menahan seorang wanita kerana disyaki membunuh anaknya selepas kepenatan melayan permainan video di Internet.

Kejadian di bandar Cheonan itu adalah yang ketiga membabitkan masalah ketagihan permainan video Internet dilaporkan di wilayah terbabit. Dikenali hanya sebagai Kim, polis berkata, wanita itu menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari bermain video sehingga segala kerja rumah dan tugas menjaga dua anaknya diabaikan.

Seorang jiran berkata, keadaan dalam rumah Kim, 27, tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah. Kadang-kadang, katanya, anak Kim menangis sehingga berjam-jam tetapi masih gagal mendapat perhatian wanita itu.

Menurut polis, Kim membelasah dan mencekik anaknya yang baru berusia tiga tahun kerana budak terbabit kencing di lantai. Perbuatan budak itu dianggap mengganggu tumpuan Kim kepada permainan di komputer. Menurut sumber, selain berjudi, Kim leka menguruskan ‘haiwan maya’ di Internet.

Diakui, Internet memudah dan mempercepatkan kerja. Tetapi untuk apakah segala kelajuan dan kemajuan kalau ia hanya menyesakkan hidup? Terlalu bergantung dengan teknologi juga susah jadinya. Internet adalah perkhidmatan bagi memudahkan hidup. Janganlah terlalu terikat dan mengikut rentak Internet hingga boleh mengalami tekanan jiwa apabila berlaku gangguan perkhidmatan ini.

Mari kita kongsi pendapat beberapa geng Gen.Y mengenai isu ini.


Nama: Muhammad Nazirul Noor Hisham
Umur: 24
Lokasi: Perak


“Sebagai seorang remaja serta pelajar pada masa sama, seharian tanpa Internet mungkin akan jadi bosan kerana ia satu-satunya medium yang hubungkan saya dengan keluarga serta rakan jauh untuk berbual. Apatah lagi status sebagai pelajar, sudah pasti Internet adalah tempat untuk hilangkan tekanan selepas seharian letih ulang kaji dan kuliah.

“Apa akan berlaku sekiranya tak ada Internet? Ia akan menyusahkan pelajar kerana kebanyakan bergantung harap kepada Internet untuk cari maklumat berkaitan tugasan. Contohnya, kita boleh ketinggalan zaman kerana remaja sekarang bukannya suka menonton televisyen, mereka memilih Internet untuk ambil tahu situasi dunia. Cuba bayangkan jika tak ada Internet sehari, kacau bilau jadinya,” katanya.


Nama: Mohamad Asrul Nizam Mohd Asari
Umur: 23
Lokasi: Kelantan


“Tak dinafikan Internet cukup penting kepada semua orang. Tanpa e-mel, Twitter atau Facebook, tanpa pembelian dalam talian, tiada dagangan saham dalam talian. Tiada penghantaran industri tepat pada masa, tiada pengesanan penyakit. Jika perkhidmatan ini dimatikan selama satu hari, akan berlaku kesukaran tahap tertinggi. Kalau kita lihat, semua urusan bank, perkhidmatan kerajaan dan sebagainya dilakukan atas talian. Terhenti Internet 24 jam boleh berlaku kekecohan dalam segala urusan.

“Saya sendiri perlukan Internet. Tapi kalau sehari tanpa Internet, rutin seharian saya tetap akan jalan seperti biasa. Saya tak terlalu bergantung kepadanya. Jika terputus talian, saya mungkin akan menonton televisyen, keluar bersiar-siar atau paling tidak, tidur dengan tenang sambil menanti hari esok yang pastinya akan kembali ada sambungan Internet,” katanya.


Nama: Norzaini Abd Ghani
Umur: 23
Lokasi: Kedah


“Dari pandangan orang yang belum kerja, seharian tanpa Internet boleh buatkan sakit kepala. Zaman sekarang semuanya bergantung kepada Internet, apabila perkhidmatan ini dicatu, boleh buatkan orang mengamuk. Jalur lebar yang bermasalah tak sampai sejam pun dah berjaya buat orang bengang, apatah lagi selama sehari.

“Remaja sekarang lebih suka berborak di Internet. WhatsApp, Line, semua aplikasi menggunakan Internet untuk berhubung. Boleh hilang akal dan mati kutu sekejap kalau Internet putus selama sehari. Dalam dunia serba moden ini dan dikelilingi teknologi, kita tentu tak boleh bertahan jika seluruh Internet lumpuh untuk sehari atau seminggu,” katanya.


Nama: Luqman Danial Rahim
Umur: 23
Lokasi: Perak


“Jika Internet tak ada mungkin saya akan tidur, baca surat khabar untuk ambil tahu perkembangan sekeliling atau keluar melepak dengan kawan sebab bosan. Internet memudahkan kita mencari maklumat berkaitan sesuatu perkara selain mudah juga bila nak beli barang secara atas talian. Kewujudannya dah lama, generasi baru boleh dikatakan bergantung hidup dengan Internet, saya akui.

“Seandainya tak ada Internet, akan buatkan orang rasa bingung untuk melakukan kerja lain malah kerja jadi lambat untuk disiapkan. Pentingnya Internet ini kita boleh nampak apabila ada yang sanggup pergi ke kafe siber semata-mata untuk ‘online’ dan mungkin kalau tak dapat akses sehari, otak jadi tepu dan rasa bosan meningkat ke tahap maksimum,” katanya.


Nama: Mikko Hypponen
Lokasi: Finland


Tiada siapa yang akan kisah, namun begitu ia akan timbul kerumitan besar. Ketiadaan Internet membolehkan kita menjalani kehidupan sebenar kerana tidak terganggu dengan Twitter serta Facebook atau menganalisis situasi, ini menguatkan hubungan sebenar antara rakyat. - Ketua Penyelidik dan Pakar Keselamatan Komputer F-Secure di Helsinki,

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08