Rabu,22 Oktober 2014

Reviu Produk: Kualiti BRAVIA

Oleh Afiq Hanif

BANYAK betul telefon pintar di pasaran pada masa kini namun penguji tertarik dengan Sony Xperia S yang cantik ketika berada di genggaman.

Ia dibangunkan Sony Mobile Communications, anak syarikat Sony Corp yang dulunya dikenali sebagai Sony Ericsson.

Terlebih dahulu, jom berkenalan dengan si telefon berbaju putih yang berjaya diteroka penguji di makmal kami.

Model Sony 4.3 inci ini dikhabarkan peranti Android Sony paling cun di dunia yang direka khas dengan kemampuan rakaman video HD mengagumkan.

Foto

Foto


Didatangkan dengan kesediaan 16 aplikasi sudah terbina di skrin utama anda, ia menyepadukan teknologi imej dan paparan terbaik dalam kelasnya daripada Sony, termasuk Paparan Realiti dengan enjin mudah alih BRAVIA dan rakaman video HD (1080p).


Belum cukup dengan ciri mewah, telefon yang mempunyai rekaan skrin sentuh tampil dengan kemudahan membaca e-mel pada bila-bila masa dan berupaya membuka kebanyakan dokumen terus ke peranti.

Kalau dilihat dari aspek reka bentuk, ia adalah telefon pertama yang menggunakan rekaan NXT dari Sony.

Skrin sebesar 4.3 inci yang kelihatan besar mempunyai jumlah piksel 720 x 1280 yang lebih tinggi daripada iPhone 4 membuktikan kesediaan Sony dalam menempuh cabaran pengeluaran telefon pintar!

Xperia S mempunyai rekaan kerangka yang lengkung di bahagian belakang bertujuan memudahkan pengguna membawanya di mana saja malah ‘sedap’ dipegang dalam tangan.

Jika diteliti, Xperia S memang penuh dengan pilihan perkomputeran mudah alih apabila ia lengkap dengan sambungan GSM/HSDPA untuk kegunaan anda semasa anda merantau, port HDMI ketika diperlukan dan banyak lagi.

Malah, sambungan menggunakan microUSB ke komputer dan fungsi Bluetooth ketika memindahkan fail dari setorannya beroperasi dengan lancar yang memberi kelegaan kepada penguji.

Terdapat rekaan plastik lutsinar di bahagian bawah telefon ini yang bukan saja mencantikkan telefon tapi berfungsi sebagai pengesan LED untuk telefon anda.

Bermakna, jika anda menerima panggilan atau mesej, ia akan menyala serta-merta yang memberikannya markah tambahan sebagai telefon pintar.

Sudah pasti, ia datang dengan sistem operasi Android versi Gingerbread dan boleh ditingkatkan kepada Ice Cream Sandwich 4.0.

Selain itu, penggunaan Xperia S cukup memuaskan yang mana aplikasi diuji beroperasi dengan laju manakala skrin dengan teknologi Mobile BRAVIAŽ Engine terang dan jelas.

Pelayaran web? Sudah tentu ia dapat dilakukan dengan pantas, terima kasih kepada pemprosesan 1.5 GHz Dual Core yang hebat.

Xperia S adalah satu-satunya telefon pintar dengan pengalaman paparan berdefinisi tinggi (HD) penuh, turut dilengkapi kamera 12 megapiksel yang boleh terus aktif dalam tempoh kurang 1.5 saat dari mod ‘standby’.

Kualiti imej yang terhasil melalui S memang tidak boleh disangkal antara yang terbaik pernah penguji lihat!

Secara keseluruhannya, Sony Xperia S adalah peranti hebat dengan purata ketahanan bateri sehingga sehari suntuk jika penggunaan biasa dilakukan walaupun ia memiliki pelbagai ciri.



INFO

PRODUK: Sony Xperia S
PENGELUAR: Sony Mobile Communications
PERTANYAAN: Sony
LAMAN WEB: www.sonymobile.com
HARGA: RM1,899

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/10
`