Sabtu,22 November 2014

Rekaan tampak eksklusif, bergaya

Pakaian pengantin sememangnya menjadi tumpuan hadirin pada majlis perkahwinan. Ketelitian rekaan baju digayakan berserta warna pilihan memastikan raja sehari yang diraikan itu tampil anggun menawan.

Bagi memberi kelainan, Butik Pengantin Nurin Makeover Wedding Kuala Lumpur menyediakan pelbagai rekaan busana pengantin yang menarik sama ada moden atau tradisional.


Pemilik butik berkenaan, Nurin Adlina Basir mengakui amat mementingkan ketelitian terutama apabila menghasilkan rekaan busana pengantin.

“Saya amat menitikberatkan kekemasan setiap perincian. Setiap satu dijahit menggunakan tangan dan kebanyakan idea terhasil secara spontan.


“Walaupun ada busana menggunakan perincian agak sarat, ia masih kelihatan menarik dan tidak keterlaluan sekiranya dipadankan dengan kombinasi aksesori serta penggayaan tudung yang betul,” katanya.


Tidak hanya tertumpu kepada pengantin bersaiz kecil, malah mereka yang memiliki bentuk badan berisi juga boleh menggayakan rekaannya dengan mudah.

Nurin Adlina banyak menggunakan kain sifon, sutera sifon, bridal sifon, fabrik jaring dan renda yang digabungkan bersama bagi memastikan rekaan eksklusif dihasilkan lebih mewah dan bergaya. Antara rekaan dihasil-kannya ialah gaun labuh, kebaya pendek dan baju potongan bertingkat disertakan layah meleret bagi bakal pengantin untuk tampil bergaya. Selain itu, padanan warna busana turut disesuaikan dengan perincian manik pada baju.


“Penggunaan warna kontra untuk perincian manik atau sulaman menjadi keutamaan kerana ia boleh menyerlahkan lagi rekaan baju.

“Corak flora menjadi pilihan untuk rekaan perincian pada baju kerana ia mudah dan menarik apabila siap dijahit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09
`