Isnin,22 Disember 2014

Rahsia kereta buruk

Laporan Yusri Abdul Malek, Shamsul Munir Safini, Muhamad Saufi Hassan, Fardy Bungga dan Adnan Mohamad

KOTA BHARU: Setiap kali berkunjung ke pekan Pengkalan Kubor, Tumpat, yang bersempadan dengan pekan Takbai, Selatan Thailand, pasti akan terserempak dengan kereta buruk dan apabila melalui kawasan kampung anda pasti bertambah hairan kerana kebanyakan penduduk memiliki kenderaan itu.

Bagaimanapun, selepas diselidik anda pasti terkejut apabila kenderaan terbabit sebenarnya digunakan untuk kegiatan penyeludupan petrol atau diesel ke negara jiran.


Bukan lagi rahsia, sekumpulan penduduk tempatan itu bersengkongkol dengan tauke dari negara jiran apabila membawa petrol atau diesel yang diisi di dalam tangki tambahan atau tangki ubah suai ke beberapa pangkalan haram di tebing sungai sebelum diseludup ke Thailand.

Difahamkan, setiap kereta khususnya Toyota KE30 boleh mengisi 500 liter petrol untuk satu perjalanan sejauh tidak sampai 10 kilometer dari stesen minyak ke pangkalan haram terdekat di tepi Sungai Golok.


Penyeludup juga dikatakan sanggup membeli kereta uzur dari mana-mana individu tanpa mempunyai cukai jalan dengan harga sekitar RM1,500 sebelum mengubah suai kereta terbabit.


Selain itu, ada juga tauke mengupah individu tertentu bagi memandu kereta ke pangkalan haram dengan upah mengikut berapa kali kerja dilakukan serta jumlah petrol atau diesel yang mampu dibawa mereka.

Komander Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim, berkata, tangki bahan api kereta yang dikenal pasti diubah suai sememangnya menjurus ke arah kegiatan penyeludupan petrol atau diesel ke negara jiran.


“Aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan berlaku kerana sesuatu harga barangan itu lebih murah atau mudah didapati di negara ini atau negara jiran.

“Dalam kes ini, kami memang sudah sedia maklum harga bahan api sama ada petrol atau diesel memang lebih murah di negara kita kerana diberikan subsidi dan di negara jiran harganya lebih mahal sehingga menggalakkan penyeludupan bahan api itu,” katanya.


Menurutnya, penyeludup akan mengubah suai tangki menjadi lebih besar supaya dapat mengaut lebih keuntungan.


Katanya modus operandi mereka adalah mengisi petrol atau diesel di beberapa stesen minyak bagi mengelakkan kegiatan itu dicurigai dan apabila penuh tangki, mereka akan kembali ke pangkalan haram.


“Sebaik tiba di pangkalan, petrol atau diesel dari kereta itu akan disedut keluar dan diisi pula ke dalam tong jenis ‘jerrycan’ yang boleh memuatkan sehingga 30 liter minyak.


“Setiap satu perjalanan, penyeludup mampu membawa 500 liter minyak,” katanya ketika ditemui, semalam.


Rusli berkata, aktiviti penyeludupan sememangnya berisiko terutama apabila kegiatan itu dapat dihidu UPP.


“Penyeludup sudah mempertimbangkan risiko itu dan sanggup ‘melepaskan’ barang seludup berkenaan sama ada hanya sementara atau dibiarkan begitu sahaja.


“Kerugian daripada segi modal antara risiko penyeludupan, namun penyeludup dikesan melakukan perbuatan sama berulang-kali jika tidak disabitkan kesalahan selepas ditahan,” katanya.


Menurutnya, penyeludup kebiasaannya bukan tauke dan hanya menjadi orang tengah yang dibayar upah.


“Mereka juga tahu barang yang dibawa dan melakukannya secara sukarela dan bukan dianiaya seperti mana yang berlaku dalam kes keldai dadah.


“Setiap aktiviti penyeludupan didalangi tauke sama ada dari negara jiran atau tempatan manakala broker akan menawarkan upah kepada pihak ketiga menjadi penyeludup,” katanya.


Menurutnya, senario itu menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dibanteras kerana yang tertangkap biasanya penyeludup, sementara tauke sebenar masih bebas dan akan meneruskan kegiatan itu dengan pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06
`