Jumaat,28 November 2014

RM1 juta lesap diperdaya ‘Tok Guru’

KUALA LUMPUR: Walaupun sindiket penipuan memperdaya orang ramai menggunakan khidmat seorang sami warga Thai atau ‘Tok Guru’ bagi meramalkan nombor ekor sudah berkali-kali disiarkan media, masih ada yang terpedaya.

Terbaru, seorang wanita berkerjaya berusia 40-an berputih mata selepas kerugian lebih RM1 juta akibat tertipu dengan sindiket terbabit awal tahun ini.


Difahamkan, kegiatan itu yang berleluasa sejak dua tahun lalu kini tertumpu di pasar raya terkemuka dengan menyelitkan risalah di cermin kenderaan selain menyebarkannya kepada pengunjung ke pusat itu.

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sehingga semalam, beliau menerima 14 aduan kes penipuan berkenaan membabitkan RM1.6 juta.


“Kebanyakan mangsa tertarik dengan iklan sindiket terbabit sebelum dipercayai menghubungi nombor tertera kononnya ingin bercakap dengan ‘Tok Guru’.


“Ketika dihubungi itu, suspek sedaya-upaya meyakinkan mangsa kaedah digunakan sangat berkesan sebelum memujuk mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek sebagai bayaran perkhidmatan bagi mendapatkan nombor ekor itu.

“Sekiranya mangsa inginkan nilai kemenangan yang lebih besar, maka mereka perlu membuat bayaran lebih banyak,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Akhirnya, mangsa bukan saja tertipu kerana nombor berkenaan tidak memenangi hadiah, malah segelintir daripada mereka terpaksa berhadapan dengan beban hutang dengan kawan, mengeluarkan duit simpanan dan meminjam daripada along.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata, setakat ini, mereka belum menerima kes yang membabitkan Melayu.


Katanya, untuk menghindari kes itu, mereka membuat kempen kesedaran kepada orang ramai malah pihaknya juga memerhatikan kegiatan terbabit aktif di Petaling Jaya dan Shah Alam.


Beliau turut menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit melaporkan perkara itu kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Biro Pengaduan Awam MCA atau ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/21
`