Rabu,22 Oktober 2014

Pertandingan memancing tawar kereta, wang RM491,000

SHAH ALAM: Sebuah Proton Saga dan wang tunai RM491,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing GP Selangor 2011 anjuran Kerajaan Selangor bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pertandingan akan diadakan Ahad ini di Tasik Kota Kemuning dengan menawarkan hadiah wang tunai RM52,900 setiap pusingan dan hadiah cabutan bertuah motosikal Modenas Kriss dan hamper.


Juara setiap siri membawa pulang RM30,000, kedua RM12,000 dan ketiga RM6,000. Pemenang keempat hingga ke-20 menerima wang tunai dan hadiah iringan. Sebagai persediaan pertandingan, penganjur melepaskan ikan tongsan dan pacu sebanyak satu tan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam, Asmah Mohd Zin dan Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran.


Yaakob berkata, acara yang julung kali diadakan di Selangor dijangka mampu meningkatkan industri pelancongan domestik selain meningkatkan pendapatan penduduk tempatan terutama peniaga kecil dan sederhana.


Beliau berkata, sembilan lokasi pertandingan termasuk Tasik Kota Kemuning; Tasik Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis); Bukit Mahkota; Tasik Kelana Jaya, Petaling Jaya; Tasik Agrotek, Kuala Selangor; Pantai Tanjung Harapan, Klang; Pantai Sungai Lang, Sabak Bernam; Tasik Darul Quran, Kuala Kubu; Tasik Cyberjaya, Sepang dan Taman Tasik Shah Alam.

Yuran penyertaan setiap pusingan ialah RM80 untuk satu joran dan peserta boleh mendaftar lebih daripada dua joran.


Bagi keterangan lanjut, boleh menghubungi talian 016-293 7741, 013-3838655 dan 013- 3588206.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/03
`