Jumaat,24 Oktober 2014

Penjagaan gigi palsu

MELALUI kaji selidik pengguna yang dijalankan, ada tiga juta pemakai gigi palsu di Malaysia iaitu antara jumlah tertinggi di rantau Asia. Daripada jumlah itu, 52 peratus berumur bawah 50 tahun dan 63 peratus adalah wanita.

Kebanyakan pemakai gigi palsu (dentur) sama ada sebahagian atau penuh bertujuan memperbaiki rupa paras, pertuturan, pengunyahan, mengelak gigi condong dan tersasar atau sebab tersendiri.


Meskipun bilangan pemakai gigi palsu meningkat, pengetahuan mengenai cara pemakaian gigi palsu belum memuaskan. Ramai pemakai gigi palsu masih samar mengenai cara penjagaan dan cara mengoptimum tahap keselesaan pemakaian gigi palsu.

Ramai memilih memakai gigi palsu tetapi tidak tahu bagaimana menjaganya dan bila perlu diganti. Gusi dan tisu di dalam mulut akan terjejas jika pemakai gigi palsu tidak menjaganya dengan sempurna.


Menyedari hakikat itu, GlaxoSmithKline (GSK) mengadakan bengkel penjagaan gigi palsu bersama Prof Pergigian Restoratif Universiti Newcastle, Prof Angus Walls yang didatangkan khas bagi mengajar orang ramai mengenai penjagaan gigi dan cara mendapatkan kehidupan lebih berkualiti dengan pemakaian gigi palsu.


Bengkel diadakan khusus untuk media itu menjurus kepada cara pembersihan, penjagaan dan penggunaan gigi palsu yang betul disebabkan masih ramai pengguna gigi palsu di negara ini tidak peka terhadapnya.

“Ada kecenderungan untuk mengubah pilihan makanan sedia ada bagi mengelak masalah kunyahan atau rasa tidak selesa apabila sisa makanan terlekat di bawah gigi palsu.


“Perubahan dilakukan berpotensi memberi impak pada kesihatan oral, kecenderungan mendapat penyakit dan tahap kesihatan keseluruhan pengguna gigi palsu boleh terjejas disebabkan kekurangan zat makanan,” katanya sewaktu ditemui pada majlis itu di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) baru-baru ini.

Tambahnya, penjagaan gigi palsu yang tidak betul memberi kesan buruk kepada kesihatan keseluruhan pemakaian gigi palsu. Sisa makanan yang terlekat di celah gigi palsu adalah masalah biasa dihadapi kebanyakan pengguna yang menyebabkan ketidakselesaan.


“Pelekat gigi palsu yang selamat dan kuat boleh mengelak masalah ini kerana ia menghalang cebisan makanan terperangkap antara lelangit dan gigi palsu, jadi mereka boleh makan apa saja jenis makanan dengan selesa.


“Kehilangan gigi asal ialah situasi yang sangat mencabar bagi kebanyakan orang namun masih ada peluang mendapatkan maklumat berguna mengenai pemakaian gigi palsu supaya berasa lebih yakin tanpa mengorbankan kesihatan diri dan mulut,” katanya.


Selain pelekat gigi palsu, GSK mengeluarkan tablet pembersih khusus untuk gigi palsu yang mampu menghapuskan 99.9 peratus bakteria yang menyebabkan bau mulut, selain menghilangkan kotoran degil pada gigi dan mengekalkan tahap kesihatan pemakai gigi palsu.


Pengguna hanya perlu menanggalkan gigi palsu dan memasukkannya ke dalam segelas air sebelum mencampurkan sebiji tablet bagi menanggalkan segala kotoran yang melekat pada gigi.


Produk lengkap penjagaan gigi palsu GSK dikilangkan di Ireland serta disyorkan oleh Australia Dental Prosthetists Association (ADPA).


Dalam usaha memastikan masyarakat faham mengenai penjagaan gigi palsu yang betul dan bagaimana mendapat kualiti hidup lebih baik, mereka boleh menghubungi talian tol percuma di 1800-88-3225.


CARA PENJAGAAN GIGI PALSU YANG BETUL Memilih gigi palsu
Walaupun doktor gigi anda mengesyorkan yang terbaik, sebagai pengguna anda harus dimaklumkan keperluan sebenar supaya mendapat gigi palsu yang sepadan dengan kehendak dan penggunaannya.

Gigi palsu yang tidak sepadan boleh menyebabkan masalah pertuturan dan sewaktu menjamah makanan. Gigi palsu tidak boleh bertahan sepanjang hayat, sebaliknya perlu dibetulkan atau ditukar baru apabila perlu. Sebagai contoh apabila anda mengalami masalah gusi mengecut atau gigi palsu pecah mahupun sumbing.

Lakukan
1: Jumpa doktor gigi sekerap mungkin seperti anda masih mempunyai gigi asal 2: Maklumkan kepada doktor gigi jika anda menggunakan ubat yang menjadikan mulut kering 3: Tukar gigi palsu jika perlu. Secara purata satu set gigi palsu mampu bertahan hingga lima tahun

Elakkan
1: Tidak menghiraukan kesakitan pada gusi untuk jangka masa panjang. Dapatkan pemeriksaan doktor gigi bagi memastikan gigi palsu dalam keadaan baik 2: Cuba perbaiki gigi palsu sendiri jika bermasalah kerana anda mungkin menjadikan keadaan bertambah buruk 3: Membersih atau merendam gigi palsu dalam air panas kerana ia boleh mengubah bentuk gigi palsu anda 4: Membersih gigi palsu dengan ubat gigi biasa kerana ia mengandungi bahan menghakis pada gigi palsu, sebaliknya gunakan pembersih khusus

Bersihkan gigi palsu
Gigi palsu harus dibersihkan secara konsisten seperti gigi asal untuk mengelak masalah seperti nafas berbau dan berwarna kekuningan. Plak juga boleh tumbuh atas gigi palsu dan menjejaskan penampilan

Lakukan
1: Berus gigi palsu setiap hari untuk menghilangkan sisa makanan yang terlekat dan boleh mengakibatkan warna gigi menjadi kuning 2: Berdiri berdekatan besen berisi air ketika menanggalkan gigi palsu untuk mengelak menjatuh dan memecahkan gigi palsu 3: Rendam gigi palsu dalam air atau larutan pembersih gigi palsu jika tidak digunakan bagi mengelak ia menjadi kering

Gunakan gigi palsu
Sewaktu diperkenalkan pada set gigi palsu, anda memerlukan beberapa hari untuk berasa selesa dengan penggunaannya. Doktor akan mengesyorkan anda menggunakan secara berterusan untuk beberapa hari dan apabila sudah biasa, anda boleh menanggalkannya pada waktu malam bagi merehatkan tisu gusi

Sewaktu memakai gigi palsu
1: Berlatih bercakap di depan cermin hingga yakin dengan gigi palsu anda 2: Beri masa untuk menyesuaikan diri menjamah jenis makanan berbeza. Makanan keras dan besar harus dikunyah lebih perlahan dan berhati-hati 3: Pastikan anda mengambil nutrisi secukupnya jika didapati mengambil makanan dalam kuantiti sedikit selepas memakai gigi palsu 4: Kunyah kedua-dua belah kanan dan kiri mulut bagi menyamakan penggunaan 5: Gunakan krim pelekat yang diberi setiap hari untuk mengekalkan kedudukan gigi palsu

Elakkan
1: Minum air panas kerana boleh merosakkan gigi palsu 2: Biarkan gigi palsu mengganggu kehidupan anda. Anda boleh hidup sempurna walaupun dengan gigi palsu.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/18

Artikel Lain

`