Jumaat,24 Oktober 2014

Penghijrahan Iwan

KETIKA irama dangdut di puncak kegemilangan persada muzik tanah air sekitar pertengahan 90-an, nama Iwan cukup meledak di pasaran. Malah, dia yang tampil menyanyi lagu dangdut secara solo, turut berduet bersama Amelina dan Sheeda.

Pastinya, lagu Memori Daun Pisang dan Yang Tersayang, cukup mengingatkan peminat pada keserasian Iwan dan Amelina. Bahkan, lagu Secangkir Madu Merah pula dinyanyikan Iwan bersama Sheeda. Selain itu, Iwan juga popular dengan lagu solo, Yang Sedang Sedang Saja dan Wulan.

Namun, semua itu sudah menjadi kenangan buat Iwan atau nama sebenar, Wan Syahman Yunus, 50. Ini kerana, Iwan sudah berubah imej dan dia lebih menjurus kepada berdakwah. Malah, Iwan juga memiliki keluarga baru dan seorang anak perempuan.

Iwan bertemu jodoh dengan isterinya, Evie Surriantyy pada 2 Oktober 2009 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan Wan Nur Sumayyah, setahun. Ternyata, Iwan sangat bahagia dengan cara hidupnya yang disifatkan lebih dekat dengan Tuhan.


Terdahulu, Iwan ditemui pada majlis perkahwinan anak gadisnya, Wan Syamira Putri Oktavia, 19, hasil perkahwinan bersama bekas isteri yang juga pelakon era 80, Rosnah Mohd Nor di Taman Putra Perdana Puchong, Ahad lalu, bertemakan coklat keemasan.


Hadir ditemani isterinya yang berjilbab hitam, anak serta ahli keluarga dari Indonesia, Iwan mengakui dia sangat bersyukur anaknya bertemu jodoh pada usia muda. Katanya, perkahwinan itu indah dan tuntutan agama, maka tidak perlu dilewat-lewatkan.

Mesra berbicara, Iwan juga bersikap terbuka berkongsi kisah hidup barunya. Katanya, dia akan muncul dengan album dakwah tidak lama lagi. Ikuti temubual wartawan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN (yati@hmetro.com.my) bersama jurugambar, Khairunisah Lokman mengenai penghijrahan hidupnya.


RAP: Sudah berapa lama penghijrahan anda ini?
IWAN: Kira-kira dua tahun. Namun, saya tidak mahu bercerita sangat mengenai bagaimana penghijrahan ini berlaku. Apa puncanya dan kenapa kerana semua ini sebenarnya kuasa Allah s.w.t. Bahkan, saya tidak mahu dianggap bermegah-megah mengenainya. Apa yang boleh saya katakan, Allah sudah memberi peluang kepada saya untuk menginsafi semua kekurangan diri dan berhijrah ke arah kebaikan.

Saya akui, dulu mungkin terlalu sibuk dengan kerja hingga terlupa dan tidak faham soal-soal agama. Justeru, saya sangat bersyukur pada usia yang makin meningkat ini, Allah akhirnya memberi peluang dan kesempatan untuk berubah.
Kini, saya hanya mengharapkan perubahan yang berlaku kepada diri berkekalan selamanya dan bukan bersifat sementara. Jadi, penting untuk saya tidak menunjuk-nunjuk. Malah, sekarang ini pun saya lebih selesa beristiqamah. Malah, saya senang mengajak masyarakat berbuat baik, menghindarkan diri daripada kemungkaran dan seterusnya beriman kepada Allah.


RAP: Bagaimana pula dengan karier nyanyian anda?
IWAN: Sehingga sekarang, Alhamdulillah saya masih aktif. Malah, tawaran menyanyi pun masih diterima. Namun, hanya yang sesuai saja diambil dan sekarang saya banyak membuat persembahan di ekspo jualan barangan di seluruh negara. Selain di Lembah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur, saya ke Segamat, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan serta Johor untuk membuat persembahan. sekarang ini, saya memang sudah tidak ambil tawaran menyanyi di kelab malam dan pusat hiburan.

Saya sudah meninggalkannya terus dan cukuplah dengan apa yang sudah dilakukan ketika muda dulu. Kini, semuanya sudah berubah dan saya hanya mahu mencari ketenangan dan keredaan Allah. Justeru, saya perlu menjaga keperibadian diri dengan baik.


RAP: Khabarnya anda bercadang menghasilkan album dakwah?
IWAN: Ya, saya kini dalam proses menyiapkan album dakwah yang memuatkan 10 lagu. Bagaimanapun, baru dua lagu siap dirakam dan saya bercadang ia dapat disiapkan selewat-lewat April nanti. Ini kerana, saya bercadang memasarkan album ini pada Ramadan. Saya berharap dapat menyiapkannya seperti yang dirancang.

Album ini diterbitkan syarikat saya sendiri, Iwan Entertainment Sdn Bhd. Semua aktiviti berhubung pemasaran juga dilakukan secara sendiri dan kemungkinan akan dibuat secara jualan langsung. Dalam soal jualan ini juga, saya takkan meletakkan harga yang mahal kepada peminat. Memandangkan ia dijual secara terus, peminat boleh mendapatkannya pada harga RM10 saja. Malah, saya juga membuka ruang kepada sesiapa yang berminat menjadi pengedar.

Apapun, kesemua lagu memang sudah ada dan cuma menunggu dimasukkan vokal saya. Ia adalah lagu ciptaan saya sendiri. Sehubungan itu, kepada sesiapa yang bersedia menjadi pengedar untuk album ini boleh menghubungi saya di talian 019-5255 646.


RAP: Cabaran anda menghasilkan album dakwah?
IWAN: Jujur, saya akui bukan mudah untuk menghasilkan satu album dakwah. Saya sentiasa membuat rujukan dan mendapatkan bimbingan daripada ustaz yang lebih berpengetahuan soal agama. Sebagai orang baru, masih banyak yang perlu saya belajar. Oleh itu, saya mendapatkan rujukan dan bimbingan daripada empat atau lima orang ustaz untuk mengetahui apa yang sesuai serta sebaliknya.

Saya harus berhati-hati dalam menghasilkan album dakwah ini kerana tidak mahu dihentam nanti. Kemungkinan, judul album ini ialah Segalanya Allah. Malah, antara lagu dimuatkan seperti Pengasih dan Nasihah, Berjalan Lurus, Solat Dulu, Kalimah Thoyyibah dan Segalanya Allah Punya. Harapan saya album ini diterima baik oleh peminat. Apapun, susunan muzik lagu Kalimah Toyyibbah diambil daripada lagu dangdut saya yang berbahasa Hindi iaitu Hay Diwanghi Hor Gaye. Bagaimanapun, lirik yang dulunya lebih memuji wanita, kini saya tukar kepada mengagungkan Allah dan Rasul-Nya.


RAP: Boleh ceritakan kisah perkahwinan baru anda?
IWAN: Saya mengenali isteri, Avie Surriantyy, kira-kira tiga tahun lalu ketika mengadakan persembahan di Pulau Pinang. Ketika itu juga, Avie bekerja di sana dan jodoh ini ditentukan Tuhan dan saya bersyukur dia menerima diri ini seadanya. Sepanjang hidup bersama, dia (Avie) seorang isteri yang baik dan tidak banyak kerenah. Lagipun, boleh dikatakan dia juga 'orang kampung saya' kerana kami berasal dari Indonesia. Jadi, yang pasti dia sangat memahami perjalanan hidup saya.


RAP: Apa lagi yang boleh dikongsikan bersama?
IWAN: Macam saya katakan tadi, saya kurang selesa untuk banyak berbicara mengenai penghijrahan yang berlaku pada diri ini. Bukan apa, kalau boleh biarlah ia disimpan dan menjadi rahsia saya sendiri kerana itu lebih bagus dan terbaik. Bagi saya, segala kebaikan datangnya daripada Allah. Apa yang penting sekarang adalah keredaan-Nya. Justeru, penghijrahan ini juga saya lihat sebagai kemahuan diri untuk berubah. Oleh itu, saya sangat mengharapkan dapat berbuat baik hingga ke akhir hayat.

Saya berdoa setiap hari supaya Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada diri ini. Bukan hanya kepada diri saya seorang dan keluarga, tetapi yang paling utama semoga Allah memberikan hidayah kepada semua umat Islam di muka bumi ini.


RAP: Bagaimana jika anak-anak ada yang mengikut jejak langkah anda dalam seni?
IWAN: Bakat anugerah Allah. Tidak dinafikan, tiga orang anak saya bersama bekas isteri ada menunjukkan minat dalam seni dan mereka juga boleh menyanyi dengan baik. Bagaimanapun, sebagai bapa saya tidak menggalakkan mereka menjadi artis.
Saya tidak kisah jika mereka meminati seni kerana suka-suka dan bukannya sebagai karier. Saya takkan bagi peluang kepada mereka untuk bergelar penyanyi dan kalau boleh biarlah kerja lain. Lebih menjamin masa depan dan terbaik buat mereka. Jangan jadi penyanyi.


RAP: Ucapan perkahwinan untuk anak anda?
IWAN: Saya akur anak, Wan Syamira bertemu jodoh pada usia muda, 19 tahun. Saya berdoa kepada Allah supaya jodohnya dan suami berkekalan hingga ke akhir hayat. Saya harap dengan kehidupan baru ini lebih menjadikan dia seorang matang dan tabah.

Semoga dia mengenal erti sebuah kehidupan. Selain itu, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tetamu yang terdiri di kalangan keluarga, sanak saudara, rakan dan jiran kerana sudi hadir ke majlis perkahwinan anak saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/22
`