Rabu,26 November 2014

Penggabungan Proton, Perodua tingkat daya saing

DUA syarikat automotif negara, Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), jika digabungkan akan dapat mengatasi masalah struktur dalam industri automotif tempatan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian Institut Automotif Malaysia (MAI) itu menunjukkan industri automotif tempatan akan menjadi lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya masalah struktur itu diatasi.


“Melalui penggabungan itu, masalah struktur seperti kenaikan kos tetap dapat dikurangkan dengan peningkatan pengeluaran penggunaan kapasiti.

“Kos komponen yang tinggi juga dapat dikurangkan melalui program pembangunan vendor dan sistem perolehan berskala besar,” katanya semasa menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu tahu rumusan daripada kajian penggabungan Proton dan Perodua pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.


Katanya, kajian penggabungan itu sudah dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Januari lalu. Mesyuarat itu bersetuju agar penggabungan Proton dan Perodua dibuat secara progresif.


“Kedua-dua syarikat telah mengenal pasti bidang kerjasama strategik yang boleh diterokai bagi meningkatkan penggunaan kapasiti dan daya saing,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/22
`