Jumaat,19 Disember 2014

Pencuri kantoi

Oleh Azlan Hafeedz

PASIR PUTEH: Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri selepas gagal mencuri sebuah motosikal di Pasar Pagi Tok Dekar, di sini, tidak berhasil apabila dia dicekup penduduk kampung dalam kejadian di Kampung Guntong, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi selepas perbuatan lelaki berusia 28 tahun dari Kampung Jelor itu disedari orang ramai.


Penduduk kampung itu, Azman Kadir, 31, berkata dia baru saja mahu menikmati sarapan sebelum terdengar jeritan meminta tolong dan tidak sampai seminit mendengar jeritan itu, pencuri terbabit melintas di depan rumahnya. “Melihat lelaki itu, saya mengejarnya sejauh 80 meter dan memberkasnya bersama penduduk lain.

“Ketika diikat tangannya, lelaki itu meronta untuk melepaskan diri sebelum merayu meminta ampun, selain melafazkan kata taubat kerana menyesal melakukan kerja terkutuk itu,” katanya.


Azman berkata lelaki itu mendakwa, dia melakukan perbuatan terbabit bersama seorang lagi rakannya dikenali Mat Yie, 26, dari Kampung Melor, namun dia berjaya meloloskan diri.


“Turut dijumpai bersama motosikal yang cuba dicurinya itu ialah peralatan besi berbentuk T dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Rohana Ariffin, 41, berkata ketika kejadian, dia bersama dua anaknya membeli keperluan harian di pasar berkenaan.


Katanya, kejadian itu disedarinya apabila seorang pemuda yang tinggal sekampung dengannya datang memaklumkan seorang lelaki cuba mencuri motosikalnya yang diletakkan kira-kira 20 meter dari pasar berkenaan.

“Sambil mendukung anak berusia dua tahun, saya berlari ke kawasan motosikal, namun bersyukur kerana pencuri itu tidak sempat mencurinya.


“Motosikal itu milik anak saya, Mohd Fauzi Mohd Yassin, 25, yang baru dibelinya setahun lalu hasil penat lelahnya bekerja sebagai buruh,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu satu laporan sudah diterima berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/13
`