Selasa,21 Oktober 2014

Pembaca berita TV3 kemalangan

KUALA LUMPUR: Pembaca berita TV3, Mior Abdul Malek Rayani, 28 , hanya mengalami luka ringan walaupun kereta dipandu hilang kawalan dan terbabas sejauh lebih 20 meter sebelum jatuh ke dalam gaung.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang kelmarin berhampiran Jalan Kampung Bali, Tronoh, Perak ketika Mior Abdul Malek memandu sendirian pulang ke kampungnya di Sri Iskandar, Perak.


“Sebelum kejadian saya menghubungi rakan setugas, Shamsul Liani Abas dan berseloroh memaklumkan jika terserempak kejadian kemalangan. Namun tidak sangka pula saya menjadi mangsa kemalangan,” katanya.

Ketika dihubungi Harian Metro semalam, Mior Abdul Malek berkata, ketika kejadian dia memandu menuruni cerun jalan berbukit sebelum keretanya gagal dikawal di satu selekoh tajam.


“Dalam sekelip mata, kereta saya terus terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter. Ketika itu saya hanya sempat mengucap dan membayangkan perkara lebih buruk akan berlaku,’ katanya.


Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak cedera parah.

Mior Abdul Malek berkata, selepas kemalangan dia berjaya membuka pintu kereta sebelum keluar dan menghubungi kakaknya memaklumkan kejadian berkenaan.


Kakaknya, Nurul Aidah Rayani, 37, bersama abang iparnya tiba ke lokasi kejadian kira-kira 20 minit dan membawanya ke Hospital Batu Gajah, Perak untuk mendapatkan rawatan.

Akibat kejadian itu, bibirnya pecah, luka di kaki selain tangan kiri terseliuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/07
`