Selasa,21 Oktober 2014

Peluang terakhir Kilauan Emas

Oleh Murshid Eunos

KILAUAN Emas punya pengikut dan keistimewaannya tersendiri. Meskipun ia sebuah program realiti yang membuka peluang kepada mereka yang sudah lanjut usia dalam usaha mengejar impian menjadi seorang penyanyi profesional, namun ia mencetuskan fenomena tersendiri hingga melangkaui imaginasi.

Bayangkan, sambutan yang diterima ketika sesi uji bakat di pusat beli-belah Megamall Pulau Pinang bagi mewakili zon utara, Sabtu minggu lalu cukup menggalakkan apabila 500 borang pendaftaran habis hanya kurang sejam diedarkan walaupun hanya 300 penyertaan terawal saja dipilih.

Selepas dua peserta daripada 300 orang yang hadir mencuba nasib iaitu Salanan Saleh dan Dismuna Johar, masing-masing terpilih mewakili zon utara (Pulau Pinang), Kilauan Emas musim kedua ini akan melabuhkan tirai pencarian bakatnya menerusi sesi uji bakat ini pada hari ini bagi zon tengah pula yang akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam bagi melengkapkan senarai akhir 12 peserta yang bakal berentap bagi program nyanyian ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Shafirul Nizam Haron, pihaknya terkejut dengan sambutan yang diberikan kerana orang ramai sudah berasak-asak sejak awal pagi lagi untuk mendapatkan borang penyertaan selain mencuba nasib mempamerkan bakat yang terpendam.


“Hanya 300 orang yang pertama saja dapat kami layan kerana itu pun sudah berjam-jam lamanya pihak juri menilai. Jadi jika kami buka tanpa sebarang had, memang sampai ke Subuh pun belum tentu habis. Namun, memang mengejutkan kerana hanya sejam saja untuk semua borang habis diisi di zon utara ini.


“Saya fikirkan ia satu perkembangan yang begitu positif kepada Kilauan Emas kerana masih ramai yang setia mengikutinya lebih-lebih lagi selepas melihat impak pada musim yang pertama sebelum ini serta perkembangan kerjaya juaranya, Mohd Ali Norpiah Mohd Johar,” katanya.

Tambah Shafirul Nizam, kaedah dan idea yang sama akan digunakan untuk sesi uji bakat terakhirnya hari ini di Shah Alam.

Kami hanya mengambil 300 penyertaan terawal saja dan apa yang menjadi kebimbangan adalah mereka yang sudah datang sebelum ini, namun gagal akan kembali mencuba nasib. Itu bagai satu tradisi untuk sesi uji bakat Kilauan Emas kerana kebanyakan peserta yang datang begitu bersemangat.

“Sepanjang lebih sebulan kami menjelajah ke seluruh negara untuk sesi uji bakat termasuk zon Sabah, zon Sarawak, zon selatan (Johor), zon timur (Pahang), utara dan hari ini di zon tengah, memang satu peningkatan yang begitu baik diterima.
Jelas program Kilauan Emas adalah satu bentuk hiburan yang relevan dan punya kandu­ngan yang berbeza hingga mampu menarik perhatian ramai,” katanya lagi.

Mengekalkan format yang sama, Kilauan Emas yang mengangkat bakat nyanyian warganegara Malaysia dan Singapura berusia 40 tahun ke atas turut menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 kepada juaranya. Pada masa sama, faktor penjurian turut me­nyaksikan hanya 50 peratus markah diberikan juri profesional manakala baki 50 peratus datang daripada hasil undian SMS penonton.

Bagi juri petang itu, Noreen Noor yang menyifatkan Kilauan Emas adalah pemangkin kepada pembaharuan industri hiburan tempatan yakin kandungan program ini akan memberikan kelainan yang begitu menyeronokkan.

“Walaupun saya penat kerana terpaksa menilai 300 peserta sepanjang hari, namun ia pengalaman yang begitu menyeronokkan. Mana tidaknya, walaupun sudah lewat usia, keyakinan dan kesungguhan yang ditampilkan begitu baik sekali. Saya yakin ia memberikan satu bentuk hiburan ringan selain membuka peluang kepada mereka untuk meletakkan bakat yang ada di peringkat yang lebih tinggi.

“Kilauan Emas kali ini pastinya memberikan sesuatu yang berbeza dan saya percaya penonton akan terhibur,” katanya.

Berbanding musim lalu yang hanya membuka peluang kepada warga Malaysia, kali ini pertandingan itu turut memberi ruang kepada warga Singapura untuk mencuba bakat nyanyian.

Reaksi luar biasa daripada kelompok dewasa pada musim pertama Kilauan Emas menyuntik keyakinan kepada Astro untuk meluaskan pencarian peserta ke Singapura. Selain itu, beberapa pembaharuan turut diperkenalkan bagi merancakkan lagi pengisian musim baru termasuk pertambahan bilangan peserta dan lokasi uji bakat, pengenalan kategori duet dan bimbingan dua guru vokal kepada peserta.

“Kali ini jumlah peserta akan ditambah kepada 12 peserta de­ngan dua wakil terbaik dari enam lokasi uji bakat akan berentap pada peringkat separuh akhir.

“Pada musim ini, peserta bakal dibimbing dua guru vokal iaitu komposer Adnan Abu Hassan dan penyanyi Juliza Adlizan selain menampilkan artis popular era 70-an hingga 80-an seperti Noreen Noor, Rohana Jalil, Ramlah Ram dan Hail Amir sebagai juri dan persembahan pentas.

Kilauan Emas musim kedua turut mendapat tajaan rasmi Polident serta Radio Sinar FM sebagai radio rasmi.

Sementara Raja Azura turut bertindak sebagai pengacara bagi program yang bakal disiarkan di Astro Prima (saluran 105) bermula Jun ini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.kilauanemas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/01
`