Jumaat,28 November 2014

Pelakon, tunang dijangka bebas hari ini

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki sebuah filem yang memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23, baru-baru ini yang ditahan bersama tunangnya Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok (hari ini) dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.


“Polis sudah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya.

“Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperoleh dan sejauh mana pembabitannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.


Amiruddin berkata, polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.


Akhbar ini semalam melaporkan seorang pelakon berusia 30 tahun dan tunangnya yang juga bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah stesen minyak di Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/08
`