Ahad,21 Disember 2014

Pasangan diraja Britain berlepas ke Kota Kinabalu

SEPANG: Pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah hari ini dalam siri lawatan rasmi empat hari Duke dan Duchess of Cambridge itu ke Malaysia bermula semalam.

Putera William dan Catherine berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 4.45 petang.

Di Kota Kinabalu, pasangan diraja itu akan diraikan pada majlis sambutan yang dianjurkan kerajaan negeri Sabah malam ini dan dijadual mengadakan lawatan ke Lembah Danum, hutan hujan tropika utama di Sabah esok.

Semalam, pasangan diraja itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana selain menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada majlis santapan diraja di Istana Negara.


Selain itu, pasangan diraja itu turut melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad dan Taman KLCC.


Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan selama sembilan hari pasangan diraja itu ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Putera William dan Catherine dijadual berlepas ke Kepulauan Solomon pada Ahad, untuk meneruskan lawatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14

Artikel Lain

`