Sabtu,20 Disember 2014

Pakai kad kredit beli cincin kahwin

BOLEHKAH saya bercadang untuk membeli cincin perkahwinan saya akhir tahun ini dengan menggunakan kad kredit? Adakah ia dibenarkan di dalam Islam?

Malah saya ingin memohon pinjaman peribadi untuk membiayai perbelanjaan pada hari perkahwinan itu nanti.

HASRUL,
Kuala Lumpur


PENGGUNAAN kad kredit dikira kad hutang dan Islam membenarkan seseorang yang memerlukan untuk berhutang. Mereka yang memberi hutang pula mendapat ganjaran pahala dalam Islam.


Ganjaran mereka yang memberi hutang lebih besar daripada memberi sedekah. Itu berlaku atas sebab menggalakkan usaha lebih kerana perlu membayar hutang berbanding dengan sedekah.

Memberi hutang dikira semangat tolong menolong dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, yang terbaik bagi seseorang itu ialah cuba menjauhi daripada berhutang.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim).

Berhutang melalui kad kredit dan pinjaman peribadi sewajarnya dijauhi kerana dikhuatiri membabitkan riba dan berbelanja lebih daripada kemampuan.

Islam tidak mahu seseorang itu membazir dan menggunakan wang itu untuk tujuan bermegah-megah atau bermewah-mewah. Lebih baik kiranya dapat membuat sedikit demi sedikit simpanan kerana ia lebih berkat daripada berhutang untuk majlis perkahwinan.

Majlis perkahwinan yang dianjurkan Islam ialah bersederhana selain bertujuan menghebahkan berita gembira itu kepada masyarakat.

Oleh itu, budaya menjadikan majlis perkahwinan secara besar-besaran sewajarnya dihindari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/29
`