Jumaat,19 Disember 2014

PM Thai tolak tuntutan BRN

Bangkok: Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawatra semalam menolak semua tuntutan dan syarat yang ditetapkan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk mengurangkan keganasan di selatan negara itu sepanjang Ramadan.

Perkara itu dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Thanathip Sawangsaeng.

Menurutnya, Yingluck, dalam mesyuarat Kabinet semalam, mengarahkan Menteri Pertahanan Sukampol Suwanatat mengeluarkan kenyataan menolak semua tuntutan berkenaan.

Wakil BRN ke rundingan damai, Hassan Taib kelmarin menuntut kerajaan Thai mengundurkan tenteranya dari Pattani, Yala, Narathiwat dan lima daerah di Songkhla sebagai jalan mengurangkan keganasan.


BRN juga menuntut supaya sukarelawan pertahanan wilayah yang terdiri daripada penduduk Islam diberi cuti sepanjang bulan berkenaan supaya mereka boleh menghadiri kegiatan keagamaan dan menghabiskan masa bersama keluarga.


Tuntutan dan syarat itu dibuat menerusi video yang dimuat naik ke Youtube.

Menurutnya, BRN bersetuju menghentikan operasi ketenteraannya sepanjang Ramadan seperti yang dijanjikan kepada pasukan perunding Thai ketika rundingan damai 13 Jun di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung berkata kerajaan tidak akan melayani tuntutan dan syarat BRN, khususnya mengenai pengunduran askar.

“Tidak semestinya kerajaan melayan semua tuntutan yang dibuat oleh BRN,” kata Chalerm.

Menurutnya, kebanyakan penduduk tempatan di ketiga-tiga wilayah berkenaan Pattani, Yala dan Narathiwat juga menolak tuntutan seumpama itu.

Menurut Chalerm, Pusat Pelaksanaan Dasar dan Strategi yang bertanggung jawab menyelesaikan masalah di wilayah berkenaan akan memutuskan apabila masanya tiba untuk mengundurkan tentera dan polis dari wilayah itu.

Chalerm menegaskan kerajaan Thai tidak akan menggunakan keganasan untuk mengatasi kekacauan di wilayah itu, khususnya pada bulan Ramadan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25
`