Khamis,23 Oktober 2014

PDRM rekod 562 kes pemerdagangan orang

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 562 kes pemerdagangan orang sejak penguatkuasaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran bermula 28 Februari 2008 hingga 29 September tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hassan berkata, semua kes berkenaan membabitkan 3,089 orang dipercayai mangsa berjaya diselamatkan manakala 755 lagi ditahan.


Katanya, kebanyakan kes yang dilaporkan terdiri daripada eksploitasi seks sebanyak 321 kes, kerja paksa 153 kes, manakala selebihnya membabitkan kesalahan penjualan bayi, eksploitasi kanak-kanak dan salah guna visa.

“Majoriti mangsa yang diselamatkan terdiri daripada warga Indonesia iaitu 719 orang termasuk 617 daripadanya wanita. Terdapat juga warga tempatan berjaya diselamatkan iaitu 86 orang.


“Sementara itu, bagi kes penyeludupan migran pula, sejak 15 November 2010 hingga 23 September tahun lalu, sebanyak 41 kes direkodkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
`