Jumaat,19 Disember 2014

PBNJ hantar surat tawaran kedua kepada Kelantan

Oleh Rizar Mohd Noor

APAKAH Johor bakal muncul pasukan yang memiliki peledak berbisa gandingan Daniel Gonzales Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Persoalan sama ada pemain paling bernilai Liga M 2012, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo bakal beraksi untuk Johor atau sebaliknya terus menjadi tanda tanya tatkala masih belum ada keputusan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung perpindahannya ke skuad Harimau Selatan.


Selepas Guiza yang beraksi untuk kelab Getafe CF dalam saingan La Liga sah milik Johor selepas menandatangani kontrak selama semusim secara pinjaman kini harapan menggunung terletak kepada keputusan Mat Yo yang perlu menyelesaikan segala kemelut berhubung kontraknya bersama Kafa.

“Kita sudah menghantar surat tawaran kedua kepada Kafa, kini hanya menunggu maklum balas persatuan itu. Harapan kami urusan perpindahan Mat Yo lancar.


“Saya mengesahkan Guiza sah milik Johor dan akan membuat penampilan pada saingan Liga Super dan bersama skuad bimbingan Fandi Ahmad menjalani latihan selepas sambutan Hari Krismas bulan depan. Buat masa ini beliau berada di Johor Bahru dalam tempoh dua atau tiga hari.


“Kita juga akan menilai prestasi Guiza dan jika beliau menunjukkan taring tidak mustahil Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan membeli kontrak pemain itu dari kelab Getafe CF dengan nilai pasaran terkini memandangkan beliau adalah pemain import termahal di Liga M musim depan,” kata Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim.

Guiza, 32, tiba ke Johor Bahru, kelmarin menyatakan hasrat untuk muncul penjaring terbanyak Liga M musim depan sekali gus memburu Kasut Emas tatkala ingin mengulangi pencapaian ketika musim 2008 bersama Real Mallorca dalam saingan La Liga apabila meledak 27 gol daripada 37 perlawanan.


Skuad Harimau Selatan kini sudah mengikat kembar Mohd Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Radzak, Azmi Muslim serta Muslim Ahmad dan bakal memeterai perjanjian bersama kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dan Nurul Azwan Roya yang kini dalam proses perbincangan terakhir.

Sementara itu, Muslim berharap perpindahannya ke skuad Harimau Selatan bakal beri cabaran baru dan kembali meningkatkan prestasi dalam usaha memikat hati ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk disenarai semula dalam skuad kebangsaan selepas tidak terpilih menghadapi Piala AFF Suzuki bermula bulan ini.


“Ada satu lagi peluang untuk saya kembali beraksi bersama skuad kebangsaan iaitu saingan kelayakan Piala Asia dan saya akan buktikan kepada jurulatih masih mampu beri sumbangan kepada pasukan negara dan keputusan memilih Johor adalah tepat bagi meningkat mutu permainan,” kata Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06
`