Khamis,18 Disember 2014

Novel Bersiri (Siri 13) - Cikgu Rania 2: Belahan Cinta Dua Darjat!

Oleh Samsiah Mohd Nor

DUA hari sebelum keluarga besar Tan Sri Razlan bertolak ke Pulau Langkawi, Ummar Qayyum muncul tidak semena-mena di depan pintu rumah mereka bersama Rais. Rania yang baru datang dari arah dapur terkejut bukan kepalang melihat Ummar Qayyum tersengih-sengih di ruang tamu.

Tidak sangka pula bahawa suara yang didengar sayup-sayup semasa dia di dapur itu suara Ummar Qayyum. Padahal di dalam hati terdetik juga sesuatu. Murni yang tengah berbual dengan Rindu pun tersentak dengan kehadiran Ummar Qayyum walaupun dia sudah tahu bahawa Ummar Qayyum akan balik ke Malaysia.

Lain pula dengan penerimaan Tan Sri Razlan dan Puan Sri Zalia. Mereka tersenyum lebar semasa Ummar Qayyum menyalami kedua-duanya. Daripada perbualan mereka, tahulah Rania bahawa Ummar Qayyum dijemput Rais di KLIA. Berpakat rupanya mereka ini, fikir Rania yang diam sahaja tapi otaknya ligat berfikir macam-macam sejak tadi.

Ummar Qayyum turut bercerita tentang keluarga abangnya Bakhtiar berserta emaknya bercuti di Korea selama dua minggu.


“Kami semua pun nak ke Pulau Langkawi lusa. Silap you balik masa ni Qayyum,” kata Rania sengaja hendak mengenakan Ummar Qayyum. Lebih daripada itu dia bengang kerana Ummar Qayyum suka sangat balik mendadak begitu. Langsung tidak memakluminya. Padan muka! Dua-dua keluarga pun tengah bercuti masa kau balik!


“Apa pula silap balik, semua dah rancang. Qayyum akan join kita sekali,” sahut Iskandar selamba.

Selepas itu Iskandar membentangkan rancangan yang telah pun diatur oleh mereka. Bilik berkembar dan suite mewah resort Berjaya Vacations berserta tiket kapal terbang pergi balik dari KLIA-Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi juga telah pun ditempah.

“Kenapa Ren tak tahu!” Berubah air muka Rania. Aduhai, rupa-rupanya semua ini rancangan mereka.

“Ren tak perlu tahu details tentang rancangan tu. Anyway, akak dah ‘hint’ pada Ren yang rancangan tu jadi. Ingat tak?” Rindu menggoyang-goyangkan jari telunjuknya pada Rania.

Rania mengecilkan matanya pada Rindu tanda rajuk.

“Sampainya hati buat orang macam tu!”

“Masa tu kan Ren pun tengah sibuk menanda kertas. Kami tak mahu ganggu Ren.” Rindu memberi penjelasan lanjut.

Ketika terpandangkan Ummar Qayyum, lelaki itu dengan selamba mengenyitkan matanya pada Rania. Rania mengeluh geram. Dengan Ummar Qayyum yang duduk jauh beribu-ribu batu itu boleh pula mereka berdiskusi, aku yang duduk sebumbung dengan mereka pula yang tidak tahu.

“Janganlah merajuk ya dik,” Rindu memujuk adik kesayangannya. Bangga berputik di hati Puan Sri Zalia melihat keakraban hubungan anak-anaknya.

“Kalau mama jadi Ren, lagi mama suka. Tak payah buat apa-apa. Ikut saja. Biar dia orang yang fikir,” komen Puan Sri Zalia pula.

“Nak surprisekan Ren sayang!” Rindu menyakat Rania lagi.

“Sebenarnya Ren bengang sebab Qayyum balik tak cakap pada dia,” tambah Redwan pula.

Mendengar itu seluruh keluarga tertawa dan makin seronok mengusik Rania. Merah muka anak gadis yang masih terkejut itu.

“Agak-agaklah kalau nak buat surprise atau nak buat orang terkejut pun! Penatlah,” rintih Rania.

Puan Sri Zalia paut bahu anak kesayangannya.

“Mama ingat Ren gembira tengok Qayyum balik dan join holiday kita sekali.”

Sekali lagi Rania menjeling pada Ummar Qayyum. Geram benar dengan sikap Ummar Qayyum. Lelaki itu senyum simpul penuh makna padanya. Dia suka melihat muka Rania yang masam-masam manis memandangnya.

“Selalu selalulah buat macam tu kalau nak tengok I pendek umur.” Itulah ayat pertama yang dituturkan Rania kepada Ummar Qayyum semasa mereka berdua berbual di pondok di laman rumah.

Matahari petang mulai condong dan panas petang mendarat di laman sebelah belakang. Rania berdiri di tepi tiang pondok. Pokok kesidang yang lebat berbunga galak meliliti tiang pondok. Sekuntum bunga kesidang dipetik lalu diciumnya.

“Daripada you cium bunga tu, baik you cium I,” Ummar Qayyum masih galak mengusik Rania.

Anak gadis itu menjeling tajam padanya.

“Okey, okey. I gurau saja.”

“You suka main main macam ni ya,” komen Rania.

“I cuma nak bergurau dengan you.”

“Bergurau boleh tapi tengok keadaan. Lain kali boleh tak you beritahu I kalau you nak balik ke Malaysia. I rasa macam bodoh jadi orang terakhir tahu,” pesan Rania.

Dia serius menuturkan kata-kata itu. Menyedari Rania tegas dengan ucapannya itu, Ummar Qayyum segera memohon maaf. Hati Rania yang agak hangat terus sejuk mendengar ungkapan kemaafan yang ketara ikhlas dituturkan oleh lelaki itu.

“Lain kali you orang pertama yang akan I beritahu,” janji Ummar Qayyum.

Rania tersenyum seraya memandang mentari yang kian condong. Remang cahaya petang nampak indah berjalur dengan warna langit.

“Tak sabar nak bercuti dengan my future wife and family. Mesti seronokkan?” Ummar Qayyum membayangkan hari-hari yang bakal diharungi bersama Rania.

“I pun. Rasa-rasanya dah lama benar my family tak bercuti dengan semua ahli keluarga. Masa Abang Rais dengan Kak Hayati dulu pun, tak sempat nak bercuti bersama-sama.”

Rania imbas kembali kenangan lama. Seingatnya begitulah. Kesibukan semua ahli keluarga menyebabkan mereka tidak berkesempatan merancang apa-apa percutian keluarga. Kali ini semua ada walaupun ayah hanya akan bersama mereka semalam sahaja. Keesokan harinya, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat, ayah akan terbang semula ke KLIA sebelum terus berlepas ke Washington.

“Kali ini bukan semua your family, yang belum jadi family pun ikut sekali.” Ummar Qayyum berlawak.

“Kalau emak you ada juga, lagi seronok kan!”

“Mak I confirm akan ada masa kita nikah nanti. Bukan emak saja, semua ada termasuk Acap,” usik Ummar Qayyum lagi. Seronok sungguh dapat mengusik Rania.
“Acap apa khabar? Lamanya tak jumpa dia.”

“Dia baik alhamdulillah. Dia selalu tanya bila Pak Ucu nak kahwin Cikgu Rania.” Jelingan Ummar Qayyum membuatkan Rania geram.

“Takkan lari gunung dikejar. You cakap kat Acap macam tu.”

“I dah cakap macam tu. Acap kata kalau Cikgu Rania tu gunung, senang,” Ummar Qayyum tertawa senang.

“You ni kan, kalau bercakap selalu nak mengenakan I.”

“La, I cakap betul. Tiap kali I calling calling dengan Acap, itulah soalan yang dia tanya dulu. Tak jemu jemu dia tanya,” terang Ummar Qayyum.

Serentak dengan itu, masuk satu SMS dalam telefon bimbitnya.

“Panjang umur Acap, dia hantar mesej,” ujarnya dan tawanya berderai sehabis membaca isi cerita yang ditulis Ashraf Daniel. Rania terpinga-pinga seketika sebelum dia juga tertawa setelah membaca mesej yang dihantar oleh anak buah Ummar Qayyum.

“Salam Pak Ucu, bila Pak Ucu nak kahwin dengan Cikgu Ren ni? Cepatlah. Acap dengan Jennifer jadi pengapit boleh kan!”

“Siap dah booking nak jadi pengapit lagi.” Tawa Ummar Qayyum masih bersisa.

Rania turut gelak sambil mengurut-urut dada kerana tidak menyangka apa yang diceritakan oleh Ummar Qayyum benar belaka. Dia fikir Ummar Qayyum hanya buat-buat cerita untuk mengusiknya.

“Buat cerita apa pula! Memang dia yang lebih teruja nak tengok Pak Ucunya kahwin dengan cikgu kesayangannya.”

“Miss him and Jennifer.”

“You don’t miss me?” Ummar Qayyum cuit sekilas dagu Rania menyebabkan anak gadis itu tersentak. Merah mukanya. Kerana malu, Rania paling muka ke arah lain tapi tersentak apabila matanya tertancap pada kelibat seseorang yang sedang mengintai mereka dari bilik di tingkat atas. Serentak, langsir yang diselak itu dilepaskan.

Murni ketap bibirnya. “Hissh, dia nampak pula aku sedang mengintai....” Bisiknya seraya menjatuhkan tubuhnya ke atas tilam empuk. Sakit hatinya apabila terkenang adegan mesra antara Ummar Qayyum dengan Rania. Mengada-ngada. Sengaja hendak berlagak dengan aku! Nanti, sampai di Pulau Langkawi lagilah mengada-ngada perempuan ini! Radang Murni pada Rania tidak pernah ada titik noktah.

Asalnya dia agak keberatan hendak mengikut rombongan keluarga Tan Sri Razlan bercuti di Pulau Langkawi tetapi sebaik sahaja Rais tersebut nama Ummar Qayyum, hatinya menggeletek mahu ikut serta. Terkejut juga apabila dia mengetahui Ummar Qayyum akan ikut serta.

“Asalnya Abang Is yang nak pergi tapi bila Qayyum dengar Ren pun ikut, mestilah dia nak join sekali,” cerita Rais tempoh hari.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana riangnya muka Rais bila bercerita tentang rancangan keluarga mereka hendak bercuti bersama-sama.

“Ada Ren dengan Qayyum lagi seronok!” tambah Rais.

Sampai sanggup Abang Qayyum balik ke Malaysia semata-mata mahu bercuti dengan Rania. Sini Rania, sana Rania! Meluat benar Murni mendengar nama Rania jadi sebutan seluruh ahli keluarga. Untung sungguh hidup dia di dunia ini! Aku ini ada siapa yang peduli. Tak pernah aku dengar daripada mulut Rais untuk bawa aku berbulan madu ke mana-mana. Menumpang percutian orang ke Pulau Langkawi saja yang dia mahu padahal bukan tidak mampu kalau mahu bawa aku bercuti ke Paris ke, Switzerland ke atau ke London! Mengenangkan untung nasibnya yang umpama melukut di tepi gantang, bertambahlah sakit dan pedih hatinya.

Tiba hari mereka sekeluarga mahu berangkat ke lapangan terbang KLIA, Murni terpaksa menahan rasa. Dia menyampah melihat keriangan Rania yang dikelilingi oleh orang yang menyayanginya. Anak-anak saudaranya begitu rapat dan manja dengannya. Adik-beradiknya ketara menyayanginya malah Rais lagi galak berbual dengan Rania berbanding dirinya. Belum lagi dikira Ummar Qayyum yang asyik tersenyum setiap kali merenung wajah Rania. Semua itu jadi tatapan mata Murni.

Dari rumah mewah itu, mereka dihantar dua pemandu ke lapangan terbang KLIA. Keriangan mewarnai perjalanan keluarga yang diulit kemewahan itu. Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi. Ejen kereta sewa telah pun menunggu sebaik sahaja mereka tiba di perkarangan lapangan terbang. Iskandar yang menguruskan sewa kereta. Dia menyewa dua buah kenderaan. Sebuah Toyota Estima dan sebuah Honda CRV. Mereka sekeluarga berbincang sebelum mengagih-agihkan penumpang kepada dua bahagian. Redwan memandu Toyota Estima manakala Tan Sri Razlan duduk di sebelahnya. Di belakang Puan Sri Zalia bersama Iskandar anak-beranak.

Kereta Honda CRV pula dipandu oleh Rais manakala Qayyum duduk di sebelahnya. Rania bersama Murni di tempat duduk belakang. Percutian keluarga yang baru bermula itu membuatkan Rania gembira bukan kepalang.

Dia asyik tertawa manakala Ummar Qayyum rajin pula melayannya. Kedua-dua kenderaan mewah itu bergerak bergaya menuju ke Berjaya Hotel & Resort yang terletak di Burau Bay.

Sampai di lobi hotel, Iskandar mengambil kunci bilik. Mereka kemudiannya menaiki bas shuttle menuju ke chalet penginapan mereka yang terletak di pinggir laut. Chalet mewah berkembar diberikan kepada pasangan suami isteri Iskandar-Rindu dengan Rais-Murni manakala suite mewah tiga bilik yang didirikan di atas laut dihuni Tan Sri Razlan suami isteri. Sebuah bilik untuk Rania bersama anak-anak saudaranya manakala sebuah lagi untuk Ummar Qayyum.

“Nanti kita pancing ikan dari tingkap ya Ren,” laung Ummar Qayyum dari jendela terbuka mengadap laut. Angin laut menderu masuk ke bilik mencetuskan suasana yang nyaman sekali.

“Uncle, uncle...” Seth sudah pun didudukkan Rania di birai jendela. Menjerit Puan Sri Zalia sebaik sahaja melihat cucunya bertenggek di birai jendela.

“Jatuh nanti.” Pucat muka Puan Sri Zalia.

“Jatuh terus masuk dalam air nenek. Nanti Seth berenang saja.” Bijak pula si kecil itu menjawab.

Murni yang kebetulan bersidai di jendela mengadap Laut Cina Selatan turut mendengar gurau-senda itu. Dia tersenyum sekilas kerana geli hati dengan jawapan si kecil Seth. Dia meraba perutnya.

Mudah-mudahan anak yang akan aku lahirkan nanti sebijak anak-anak Kak Rindu. Barangkali kelahiran bayi ini akan membawa perubahan dalam hidup aku! Siapa tahu? Fikirnya. Dia memandang sekeliling kamar yang menempatkan dirinya dengan Rais. Dia bersendirian kala itu kerana Rais bersama Iskandar keluar kerana ada urusan dengan pihak hotel. Mewah sungguh kamar ini. Berapakah bayarannya untuk semalam? Fikirnya seraya menelan air liur.

Kalau tidak kerana aku berkahwin dengan Rais, mustahil aku dapat mendiami bilik hotel yang mewah sebegini, getus hatinya lagi. Sebenarnya, dari awal perjalanan
lagi, dia sudah teruja melalui pengalaman bercuti dengan keluarga berada tersebut. Pengalaman sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, naik kapal terbang kali pertama dilalui dengan penuh debaran. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi dan seterusnya berada di chalet mewah di atas air merupakan satu pengalaman menakjubkan bagi budak kampung sepertinya.

Selesai solat jamak Zuhur dan Asar, mereka makan tengah hari di hotel dan terus bersiar-siar menaiki kenderaan di seluruh pelosok Pulau Langkawi. Menghala ke petang, mereka pulang dan bercadang untuk berlepak dan duduk-duduk di pantai. Tan Sri Razlan lebih selesa tinggal di bilik. Menurutnya dia mahu menyiapkan laporan yang perlu dibawa ke Washington. Kerana itu, mereka ke pantai tanpa Tan Sri Razlan.

Anak-anak Iskandar sudah tidak sabar mahu mandi laut. Tangan Iskandar ditarik-tarik oleh Seth agar segera ke pantai.

“Sabar sabar...,” pujuk Iskandar lembut. Isabela pula terkocoh-kocoh menyarung selipar untuk menyaingi Seth. Rania membentangkan tikar yang mereka beli sewaktu berjalan-jalan di pekan Kuah tadi.

“Semua orang ada kawan. Pak Long saja belum ada Mak Long.” Isabella tiba-tiba meluahkan isi hatinya. Semua yang mendengar tertawa terbahak-bahak. Redwan angkat anak buahnya lalu dihayun-hayun manja. Geram sungguh disindir si kecil yang petah dan bijak memerhati itu. Si kecil itu tertawa mengelekek dan meminta dihayun lagi.

“Sampai bila nak bergurau mesra dengan anak saudara Wan,” jerit Iskandar yang telah pun berlari menyaingi anak-anak yang meluru ke pantai. Redwan menyaingi mereka.

“Silap tak ajak Ros Ilyani,” celah Puan Sri Zalia. Tersedak Rais yang sedang minum air mineral.

“Jomlah jalan-jalan kat tepi pantai,” ajak Ummar Qayyum tatkala melihat Rania sudah merebahkan tubuhnya di atas tikar mengkuang. Dia membantu ibunya menyiapkan jus buah untuk anak-anak Iskandar. Murni duduk agak jauh daripada Puan Sri Zalia. Dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Dalam pada itu, dia mengerling Ummar Qayyum yang setia menunggu Rania.

“Pergilah Ren, temankan Qayyum jalan,” arah ibunya.

Mendengar itu, Rania akur. Puan Sri Zalia memerhatikan Rania beriringan dengan Ummar Qayyum. Pasangan yang memang sama cantik sama padan.

“Suka mama tengok Ren dengan Qayyum,” luah Puan Sri Zalia pada Rindu. Berpaling Rindu pada Murni yang berseorangan menguis pasir pantai.

“Rais pun pergilah jalan-jalan dengan Murni,” usul Rindu.

Kasihan pula dia melihat Murni terkontang-kanting sendirian. Puan Sri Zalia tidak berkata sepatah haram pun. Murni rasa kosong sungguh. Masuk hari kedua pun, Rais tidak mengajaknya berjalan atau merancang apa-apa dengannya. Waktu hendak menghantar Tan Sri Razlan ke lapangan terbang pun Rais tidak mempelawanya ikut sekali. Dia rasa terasing dan jauh hati.

Berbeza dengan situasi yang dilalui Rania. Perempuan itu begitu riang ditemani Ummar Qayyum ke mana sahaja dia pergi. Cemburu benar dia melihat kemesraan antara

Rania dengan Ummar Qayyum walaupun kedua-duanya menjaga adab dan peri laku masing-masing. Pandangan dan renungan Ummar Qayyum terhadap Rania menjentik hati nurani Murni. Dia menjeruk hati. Dia ingin sekali dipandang dengan penuh kasih sayang dan direnung penuh kagum oleh lelaki seperti Ummar Qayyum.

Tapi akan hadirkah ruang ruang indah sebegitu dalam hidupku ini? Sekali lagi perutnya yang mulai menonjol diusap perlahan. Wajah Ammar Iskandar terbayang mendadak di matanya. Dia benci lelaki yang telah memperdayakan dirinya itu. Kerana lelaki itu, dia jadi begini. Perutnya diusap lagi.

Suasana begitu sunyi kerana semua orang keluar bersuka ria. Kerana bosan berkurung di kamar, dia melangkah ke beranda. Suara wanita bercakap jelas kedengaran - suara Puan Sri Zalia sedang berbual dengan seseorang menerusi telefon. Oleh sebab tidak selesa, dia masuk semula ke dalam bilik tanpa disedari perempuan itu. Suara lantang Puan Sri Zalia masih berkumandang. Dia merapatkan mukanya ke dinding dan mencuri dengar perbualan perempuan itu. Murni berasa kurang percaya dengan apa yang didengar tapi wajahnya terukir senyum sinis tiba-tiba.


Bersambung...

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01
`