Ahad,26 Oktober 2014

Nik Aziz tak tenat

KOTA BHARU: “Kita rasa, kita anak lebih tahu (keadaan kesihatan Nik Abdul Aziz),” kata anak kedua Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz, 45, yang menafikan dakwaan sebuah laman blog mendakwa Menteri Besar itu berada dalam keadaan tenat, semalam.

Nik Omar yang juga Pengetua Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka berkata, keadaan bapanya sihat, cuma sering mengadu sakit di bahagian pinggang sejak pulang daripada menunaikan haji baru-baru ini.


“Alhamdulillah ayah sihat, cuma mungkin kesan balik daripada haji. Dia ada mengadu sakit sikit di bahagian pinggang, tetapi alhamdulillah boleh turun masjid untuk bersembahyang berjemaah.

“Cuma dalam keadaan duduk (bersolat), tetapi dia sihat alhamdulillah. Kalau tidak sihat, sebenarnya biasalah sebab peringkat umur (meningkat usia),” katanya ketika mengulas lanjut kesihatan Nik Abdul Aziz di kediamannya di Pulau Melaka, di sini, semalam.


Ditanya sama ada Nik Abdul Aziz ada mendapatkan rawatan di hospital, Nik Omar berkata, setakat ini bapanya tidak pergi kerana menggunakan kaedah urutan tradisional secara kampung.


“Setakat ini dia tidak pergi (ke hospital), kalau sakit pinggang, kadang-kadang ketika sembahyang berjemaah dia akan sakit dan terpaksa urut. Sebab tok guru tengok sakit dia tu tak perlu sampai ke hospital,” katanya.

Terdahulu sekumpulan wartawan dan jurugambar berkunjung ke kediaman Menteri Besar Kelantan itu berikutan ingin mengetahui tahap kesihatannya yang didakwa sebuah blog dalam keadaan tenat.


Kehadiran kumpulan media kira-kira jam 10.30 pagi kemudian disapa anak kedua Nik Abdul Aziz, Nik Omar, yang menjelaskan mengenai tahap kesihatan bapanya yang berehat di dalam rumah.

Bagaimanapun, Menteri Besar itu kemudian dilihat keluar rumah dengan bertongkat.


Sejurus kemudian, Nik Abdul Aziz yang didatangi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi, beredar ke kereta untuk ke pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini.


Sebelum menutup pintu kereta, Nik Abdul Aziz yang disapa mengenai kesihatannya mengesahkan dirinya sihat sambil menunjukkan ‘tanda bagus’ dan bergerak ke pejabatnya kira-kira jam 12 tengah hari.


Laporan dalam sebuah blog menyebut mengenai tahap kesihatan Nik Abdul Aziz yang didakwa sakit tenat dan dibawa ke hospital. Puncanya dikatakan kerana Menteri Besar Kelantan itu sesak nafas.


Pada blog berkenaan turut dipaparkan gambar hiasan bertajuk ‘Gempar: Nik Aziz Tenat’ dengan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat melawat Mursyidul Am Pas itu ketika dirawat di sebuah hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/09

Artikel Lain

`