Sabtu,27 Disember 2014

Motif bunga jadi pilihan

Oleh Hartini Mohd Nawi

KELAINAN sentuhan seni pada setiap elemen kayu hiasan dan dekoratifnya menyerahkan kreativiti tersendiri serta melengkapi konsep taman atau hiasan dalaman khususnya Nusantara atau warisan Melayu.

Ada kalanya bahan terpakai atau terbuang mampu mewujudkan suasana indah di taman sesuai dengan konsep diimpikan.

Memang penggunaannya sebagai kemasan taman memberikan kekuatan dan keistimewaan tersendiri dalam menaikkan seri taman.

Ia juga berperanan sebagai satu struktur laman untuk membentuk titik tumpu selain membangkitkan suasana desa yang menjadi konsep pilihan sesetengah kediaman.

Foto

BERNILAI...Ahmad Ikram menunjukkan kasut pertama dihasilkan.

Foto

SIMBOLIK...elemen hiasan kayu antara perlambangan seni.

Foto

KARAKTER RUANG...panel kayu ukiran digabungkan dengan elemen kayu hiasan lain.

Foto

PELENGKAP UTAMA...buaian kayu zahirkan suasana santai di taman.

Foto

SERI TAMAN...sinki kayu ilhamkan gaya pilihan.

Foto

CANTIK...bingkai kayu menarik.


Kini, pelbagai reka bentuk pagar, pergola, gazebo, buaian dan bangku berasaskan kayu diketengahkan dengan nilai estetika tersendiri.


Dalam menampilkan kelainan di taman berlatarkan elemen kayu, beberapa aspek perlu diambil kira termasuk ­pemilihan kayu dan keluasan taman.

Penggunaan kayu cengal amat digalakkan untuk perabot dan aksesori taman seperti pergola, wakaf dan gazebo kerana ketahanan serta nilai estetika yang dimiliki.

Promosi Kraf Hasil Rimba 2010 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, baru-baru ini menyaksikan pelbagai kreativiti diketengahkan.

Jati Indah Mulia Enterprise antara yang menampilkan perabot ukir kayu jati dan hiasan terkenal selari citarasa pemilik kediaman.

Penggunaan kayu cengal dan meranti turut popular menerusi binaan pergola, wakaf dan gazebo kerana ketahanan serta nilai estetika yang dimiliki.

Dekoratif panel ukiran kayu dengan motif bunga-bungaan pula berupaya membentuk karakter ruang atau kemasan dinding yang menarik.

Mega Ukir Craft pula nama yang begitu sinonim dengan dekoratif panel ukiran kayu dengan menampilkan kreativiti yang semestinya memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia.

Pemiliknya, Mohd Abdah Hasan berkata, aspek ketelitian dan kekemasan menjadi fokus utama proses mengukir setiap jenis kayu supaya dapat menggarap kreativiti asli.

Antara yang popular adalah panel ukiran bermotifkan tulip, cempaka dan bakawali kerana ia antara perlambangan keindahan alam semula jadi.

“Menariknya, ukiran kayu dari dulu hingga kini tidak pernah lapuk ditelan zaman dan tetap menjadi keutamaan dalam menyerikan kediaman penuh gaya tradisional serta menggambarkan suasana semula jadi.

“Suasana taman pula lebih santai dan memberikan ketenangan sepanjang masa kerana elemen kayu menjadi pelengkap utama.

“Dari kerusi, hiasan dinding, pintu gerbang hingga ukiran arca, sentuhan kreatif, halus dan teliti diterapkan sebagai lambang kualiti serta kekemasan hasil kepakaran Mega Ukir Craft.

Bagi pengukir kasut kayu hiasan, Anai Creation, Ahmad Ikram Mohd Suhaily, 52, keindahan taman dan ruang dalam menzahirkan gaya penataan simbolik lagi unik.

Setiap kasut kayu hiasan yang dihasilkan menterjemahkan hasil sentuhan penuh dengan nilai estetika tersendiri selain mengekalkan seni ukir tradisional.

“Saya gemar mengukir kasut kayu hiasan kerana kehidupan kita sering dikaitkan dengan penggunaan kasut dan ia antara simbolik pengalaman hidup saya selama ini.

“Kreativiti ini diinspirasikan menerusi kisah hidup dan pengalaman sepanjang tempoh mengembara di Amerika Syarikat selama setahun.

“Saya hasilkan kasut pertama yang dinamakan ‘My First Shoes’ pada 1998 ketika di Amerika Syarikat,” katanya.

Ahmad Ikram gemar mengukir kasut menggunakan kayu terpakai atau terbuang dengan memilih tiga jenis kayu saja iaitu cengal, tembesu dan merbau bagi mengekalkan kualiti serta nampak lebih cantik.

Malah, kayu berkenaan lebih keras, lebih tahan dan tidak mudah pecah selain rekaan kreatif kasut yang menyerikan sudut kediaman.

Mengenai proses menyiapkan hasil kreatifnya itu, Ahmad Ikram berkata, beliau hanya menghasilkan satu jenis corak eksklusif pada setiap rekaannya.

“Itulah yang dikatakan artistik kraf kerana setiap daripada ­ukiran kasut itu adalah berbeza.

“Letaklah di sudut mana pun, kasut kayu hiasan ini tentunya menarik perhatian,” kata anak kelahiran Sungkai, Perak itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/10
`