Selasa,28 Oktober 2014

Mofaz buka kedai Circle K

KUMPULAN Mofaz Sdn Bhd (Mofaz) dan Circle K Sunkus of Japan (Circle K Sunkus) mengumumkan kerjasama untuk memperkenalkan rangkaian kedai runcit serbaneka, Circle K di Malaysia dengan kedai pertama akan dibuka pada suku ke tiga 2013.

Kerjasama itu, sekali gus melahirkan syarikat baru, Circle K (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berdaftar di Malaysia yang akan memainkan peranan pemegang francais induk dari Circle K Stores Inc (America) di seluruh Malaysia.


Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, syarikat memegang 70 peratus daripada saham syarikat baru berkenaan dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan luas hasil daripada 35 tahun terbabit dalam industri pengeluaran barangan pengguna laris (FMCG) di Malaysia, selain maklumat pengedaran dan rangkaian seluruh Malaysia.

“Circle K Sunkus, dengan pengalaman 30 tahun membangunkan lebih 6,000 kedai di bawah penjenamaan Circle K dan Sunkus di Jepun, memegang baki 30 peratus yang bertanggungjawab berkongsi serta memindahkan kepakaran dalam operasi teknikal serta latihan yang diperlukan untuk proses operasi harian kedai serbaneka.


“Circle K Sunkus dan Mofaz sedia mewujudkan model perniagaan mampan untuk usahawan yang serius di Malaysia, selain membuka peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia di dalam bidang FMCG,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26
`