Rabu,26 November 2014

Minda: Asas pembentukan keluarga bahagia

Oleh Dr Aminudin Mansor

PEMBENTUKAN bangsa yang kuat banyak bergantung pada institusi keluarga yang kukuh dan tidak berpecah-belah. Jika institusi keluarga semakin rapuh kekuatan bangsa juga turut terancam. Kekuatan sesebuah keluarga mesti diasaskan dengan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri serta hubungan keluarga yang mesra.

Institusi keluarga yang kukuh dan harmoni diasaskan daripada kasih sayang, cinta dan keserasian yang akhirnya disatukan melalui perkahwinan yang sah. Keluarga adalah inti peradaban. Memiliki banyak keluarga menjadikan asas kepada kekuatan bangsa dan keturunan.

Kejayaan sesuatu bangsa yang memiliki peradaban yang cemerlang, asasnya adalah keluarga bahagia dan hidup dalam kesejahteraan.

Islam sangat menitikberatkan asas pembentukan keluarga bahagia dan cemerlang. Pembentukan ini bermula dengan iman, akidah dan ketakwaan di kalangan pasangan suami dan isteri.


Justeru, seorang ayah, ibu, anak dan ahli keluarga akan hidup aman dalam sebuah rumah tangga bahagia. Jurai keturunan keluarga akan menjadi bertambah kukuh apabila lahirnya keturunan yang menjadi kesinambungan sesebuah keluarga.


Masalah sosial remaja pada masa kini salah satu puncanya adalah keretakan dan perceraian di kalangan suami isteri. Ibu bapa yang bercerai akan menyebabkan anak- anak menjadi mangsa dan mencari jalan penyelesaian sendiri. Ibu atau bapa yang bercerai tidak dapat lagi memainkan peranan ke arah pendidikan anak-anak.

Banyak faktor menyebabkan keruntuhan institusi keluarga atau perceraian masa kini. Antaranya, kewujudan orang ketiga di kalangan pasangan, peningkatan kos hidup, ramai kalangan isteri bekerja menyebabkan rumah tangga terabai dan tiada rasa cinta serta persefahaman antara suami isteri.

Kesan daripada perceraian ini, anak-anak yang meningkat remaja akan mencari jalan penyelesaian sendiri dengan meluahkan rasa hati kepada rakan sebaya. Apabila tersilap pilih rakan sebaya bermasalah, mereka akhirnya terjebak dengan mula mendampingi rokok diikuti penyalahgunaan dadah, mengikut gaya hidup bebas dan terjebak dengan seks bebas yang akhirnya merosakkan masa depan mereka.

Masyarakat sering menyalahkan remaja berkaitan masalah sosial. Ada pihak mengatakan masalah itu timbul kerana ibu bapa tidak memainkan peranan sebenar. Ibu bapa pula sukar menerima hakikat bahawa mereka punca masalah yang berlaku pada anak-anak dan keluarga.

Sebenarnya banyak faktor menentukan pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental kanak-kanak. Walau bagaimanapun, peranan ibu bapa sangat penting, melebihi segala-galanya dari segi membentuk akhlak anak- anak khususnya yang sedang meningkat remaja.

Kajian menunjukkan anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun mudah menerima didikan ibu bapa. Sementara kanak-kanak yang mulai meningkat remaja iaitu mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun mudah menerima pengaruh rakan sebaya. Dalam proses pendidikan, ibu bapa masih memainkan peranan penting mendidik anak-anak dan tidak membiarkan anak-anak dipengaruhi rakan sebaya.

Bagi ibu bapa yang bercerai, proses pendidikan tidak dapat dilakukan. Sering kali terjadi mereka akan menuntut hak masing-masing di mahkamah yang menyebabkan hak anak terabai.

Pendidikan anak-anak juga tidak diberikan perhatian khususnya berkaitan pendidikan agama, akhlak dan budi pekerti. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian pelajarannya merosot.

Asas kasih sayang sebenarnya bermula dengan belaian ibu bapa. Anak-anak perlu disemai dengan sifat tanggungjawab. Mereka juga perlu berdikari, dididik dengan sifat amanah dan hormat-menghormati, membina maruah dan martabat diri, membina budaya mencintai ilmu, menyuburkan sifat kreativiti, belajar berjimat cermat, tidak membuang masa dengan sia-sia, belajar menjaga keselamatan diri, dan mengetahui tentang dunia teknologi maklumat.

Ini sesuai dengan saranan Sayidina Umar bin Khattab supaya mendidik anak-anak mengikut zamannya. Sementara menurut tokoh pendidik Khurshid Ahmad, jatuh bangun sesuatu umat bergantung kepada pendidikan kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Apabila ibu bapa atau orang tua sudah tidak mampu menjaga anak, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Ini membawa maksud anak-anak yang terjebak dalam pelbagai gejala sosial seperti terlibat dengan penagihan dadah, seks bebas, pelacuran dan pembuangan bayi akhirnya membebankan dan menjadi tanggungjawab negara.

Justeru, kerajaan sedar anak-anak itu fitrah, ibarat kain putih. Langkah kerajaan melalui pembangunan modal insan dengan memperuntukkan RM91 juta untuk pembangunan modal insan bagi memperkasa pendidikan di peringkat kanak-kanak, peringkat rendah dan menengah serta menjadikan hidup rakyat lebih sejahtera adalah langkah awal bagi mengatasi masalah ini.

Selain itu, kerajaan juga akan membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Melalui Skim Rumah Pertama melalui Cagamas akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang dijangka dapat mengurangkan bebanan kewangan kepada keluarga yang baru mendirikan rumah tangga.

Langkah ini adalah usaha kerajaan yang dapat mengurangkan bebanan suami isteri yang menghadapi tekanan berikutan peningkatan kos hidup yang terpaksa ditanggung terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

Kekuatan dan asas pembangunan keluarga bahagia dan seimbang banyak terletak pada keimanan suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga. Ini dijelaskan Nabi s.a.w. dalam sabdanya: “Sesiapa yang menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarganya) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluaskan rezekinya, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke syurga yang dijanjikan-Nya.” (Riwayat Ar Rabii’)

Oleh itu, perbaiki hubungan baik di kalangan keluarga iaitu antara suami isteri, anak-anak dan keluarga terdekat. Hubungan baik dibina dengan kasih sayang dan tunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak dengan memberikan pendidikan akhlak, keimanan dan pendidikan dunia dan akhirat.

Justeru, membesarkan anak bukan tugas mudah. Anak-anak adalah penghias sesebuah rumah tangga. Tanggungjawab mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa mesti memahami pertumbuhan emosi dan perkembangan fizikal anak-anak. Ibu bapa juga mesti serba sedikit mempunyai ilmu dan kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak-anak pada zaman ini.

Natijahnya, pendidikan dan pembentukan akhlak anak- anak sangat penting. Akhlak menjadi benteng kepada semua ancaman gejala sosial di sekeliling mereka. Jika akhlak anak murni dan kukuh, segala ancaman tidak akan dapat menggugat dan merosakkannya.

Peranan ibu bapa melebihi segala-galanya untuk membentuk akhlak anak. Ibu bapa perlu menyayangi, memberi perhatian istimewa, memantau siapa rakan sebaya anak-anak, menjauhi gejala sosial dan sentiasa memberi bimbingan ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.

  • Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/18
  • `