Isnin,27 Oktober 2014

Meningkatkan kemahiran berfikir

Oleh Dr. Aminudin Mansor

KEMAHIRAN berfikir penting dalam kehidupan seharian. Seseorang yang malas berfikir tidak akan berupaya meningkatkan potensi minda ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kemahiran berfikir sangat penting bagi memahami dan menakluki sesuatu perkara yang diajar oleh guru.

Secara jelas kognitif merujuk kepada intelek atau pemikiran individu. Perkembangan kognitif memfokuskan kepada cara seseorang belajar dan proses mendapat maklumat. Dengan kata lain, ia proses memperkembangkan daya fikir atau membina pengetahuan terutama kepada kanak-kanak. Seseorang kanak-kanak yang genius teguh tidak mudah tergoda dengan kejayaan.


Perkembangan kemahiran terutama kepada kanak-kanak melibatkan perubahan struktur mental. Ia melibatkan bahasa, imaginasi, mental, fikiran, penaklukan, penyelesaian masalah dan memori. Kebolehan kanak-kanak menyelesaikan sesuatu masalah dapat kita gunakan sebagai mengukur perkembangan intelek mereka.

Sementara itu, terdapat enam komponen pembelajaran dalam kurikulum prasekolah kebangsaan iaitu kognitif, bahasa dan komunikasi, fizikal, sosiologi, kerohanian dan moral serta estetik dan kreativiti. Komponen perkembangan kognitif mempengaruhi semua aktiviti pembelajaran. Komponen ini memberi penekanan kepada pemupukan sikap positif terhadap sains dan matematik.


Perkembangan kognitif adalah segala perkara yang berkaitan dengan kognisi seperti proses pembelajaran, pemahaman dan pemerolehan pengetahuan dari semasa ke semasa dalam kehidupan. Sebagai contoh, agama dianggap cara memenuhi keperluan kognitif untuk kefahaman intelektual seseorang. Anak-anak melalui proses pembelajaran melalui peringkat tadika dari usia lima hingga enam tahun, sekolah rendah tujuh hingga 12 tahun, sekolah menengah 13 hingga 17 tahun dan seterusnya di peringkat universiti.


Menurut Jean Piaget, perkembangan kognitif berlaku melalui skema. Antaranya melibatkan bentuk asas pengetahuan manusia. Kanak-kanak dikatakan mula membentuk skema dari saat kelahiran dan perkembangan berlaku dalam dua proses iaitu adaptasi dan organisasi.

Kita perlu mengambil iktibar daripada Luqman seorang genius sepanjang zaman. Luqman mengetahui ilmu generasi awal dan generasi akhir. Dia mempunyai keupayaan melihat lebih daripada sepuluh perkara yang manusia biasa hanya dapat melihat satu perkara. Menurut Hassan al-Banna, ilmu Luqman perlu digali kerana apabila tidak dimanfaatkan ibarat pokok yang tidak berbuah. Al-Hakim (orang bijak) selalu berdamping dengan nama Luqman. Bahkan ada ungkapan, “Dia bijak daripada Luqman.” Jelaslah tamadun gemilang pada masa depan akan dibina daripada anak-anak yang mahir berfikir dan genius.


Menurut Benjamin Franklin, “Genius yang tidak dididik atau tidak diasuh adalah ibarat permata tenggelam di dalam lombong.” Sementara menurut Buffon, orang yang genius tidak lain adalah kerana kecekapan yang luar biasa dalam menghadapi kesabaran.

Menjadi ibu bapa pada zaman moden serba payah, kerana banyak cabaran dan saingan serta halangan. Pelbagai pengaruh baru seperti Internet, telefon bimbit, televisyen, hiburan dan rakan di sekeliling anak-anak akan mudah mempengaruhi mereka berbanding ibu bapa.


Bagi menghadapi cabaran ini, ibu bapa perlu bijak dan sentiasa berfikir mengikut arus pemodenan agar sejajar dengan perkembangan semasa. Ibu bapa juga perlu berubah seiring peredaran zaman. Ibu bapa mesti mendidik anak dengan penuh hikmah melalui nasihat, bimbingan, teladan dan tunjuk ajar. Hikmah dan pengajaran yang berhemah dan menuju kebaikan dan kebenaran akan mudah diterima anak-anak.


Menurut Ibnu Sina, ibu bapa mesti arif dan pintar. Orang yang arif sentiasa tersenyum simpul dan bermuka jernih, walaupun hatinya tidak bergembira kerana dia memperoleh kebenaran yang dicarinya. Orang yang arif itu dermawan. Bagaimanapun, dia tidak menderma kerana harta benda baginya bukanlah kekayaan. Kekayaan yang sejati adalah mencintai kebenaran.


Ibu bapa mesti berusaha memahirkan diri dengan meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran proses sains anak-anak. Berfikir secara logik dan memperkembangkan sikap ingin tahu dan suka menyiasat melalui pembacaan dan menambah ilmu khususnya dalam pembentukan kemahiran kognitif. Melalui pengalaman ibu bapa boleh memberi peluang mengembangkan bakat anak-anak dalam bidang yang diminatinya dan mengembangkan konsep membaca, menulis dan mengira (3M).


Kemahiran berfikir adalah antara potensi minda yang sangat penting. Ia berperanan dalam menentukan kejayaan seseorang dalam apa juga bidang yang diceburinya. Melalui kemahiran berfikir yang tepat dan teliti mengelakkan seseorang daripada melakukan kesilapan, kecelaruan dan kesilapan berfikir serta terlalu mengikut emosi yang boleh menyebabkan sesuatu tindakan tidak tepat.


Perkembangan pembelajaran kanak-kanak adalah melalui proses berterusan. Faktor prestasi intelek kanak-kanak juga membabitkan faktor baka, kesihatan, pemakanan yang baik, sikap ibu bapa yang menggalakkan anak-anak belajar, persekitaran yang baik dan harmoni, kaedah pembelajaran berterusan, menggalak dan mengembangkan minat dan bakat anak-anak. Meningkatkan potensi minda adalah memberi pendedahan berkenaan sesuatu ilmu pengetahuan yang sering dipandang ringan iaitu ilmu berkaitan berfikir.


Seseorang anak yang baik dan cemerlang akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan baik, yakin pada diri dan boleh dipercayai, sentiasa mengamalkan sifat tolong-menolong, sabar dan tabah hati, berani maju untuk menempuh kebahagiaan, ikhlas dalam amal dan usaha, yakin dan percaya pada diri sendiri, mempunyai keazaman kuat, sederhana dalam segala urusan dan berusaha membangunkan martabat diri dan keluarga.


Sewaktu anak masih muda ajarkan mereka dengan kebaikan dan kejayaan supaya apabila dewasa mereka tidak menyusahkan ibu bapa dan orang lain. Seorang anak yang baik dan cemerlang lebih baik daripada sepuluh anak yang malang dari segi perlakuan dan budi pekerti. Ayah yang bijaksana mengetahui bagaimana mendidik anaknya ke arah kecemerlangan.


Kesimpulannya, bimbingan motivasi untuk menjadikan anak cemerlang sangat penting. Anak-anak akan menjadi dewasa dan menjadi insan cemerlang dalam hidupnya. Anak yang cemerlang adalah anak-anak yang mempunyai wawasan masa depan, insan yang sedia berkorban untuk agama, masyarakat, negara dan alam sejagat. Sesungguhnya kecemerlangan akal budi seseorang anak akan dapat menyeimbangkan kehidupan di dunia dan akhirat.


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/09
`