Rabu,26 November 2014

Mati diserang penyengat ketika gotong-royong

PASIR MAS: Aktiviti gotong-royong 20 penduduk di Kampung Sakar Sungai, Kasar, di sini, dihentikan selepas dikejutkan dengan kejadian serangan penyengat sehingga mengorbankan salah seorang penduduk kampung, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Chia Siew Hai, 44, maut selepas disengat serangga itu di kepala ketika mengikuti program gotong-royong dianjurkan Umno Bahagian Pasir Mas.


Menurut isteri mangsa, Ong Lee Sew, 39, suaminya yang juga penghulu tanpa mukim di kampung berkenaan menyertai aktiviti itu bersama 20 penduduk kampung.

Ibu kepada dua anak itu berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anaknya berada di rumah, namun terkejut menerima panggilan adik suaminya, Ong Soon Den, 36, memaklumkan suaminya dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), selepas disengat penyengat ketika membersihkan semak.


“Menurut adik iparnya, Chia sedang membersihkan semak sebelum melarikan diri dan memaklumkan disengat penyengat. Bagaimanapun, penduduk kampung meneruskan semula aktiviti gotong-royong kerana suami kelihatan biasa saja.


“Tiga minit kemudian, suami semakin lemah sebelum pengsan sehingga gotong-royong berkenaan dihentikan dan adik ipar menghantarnya ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia bersama dua anaknya, Chia May Yin, 18, dan Chia May Fern, 13, bergegas ke hospital sebelum dimaklumkan doktor yang suaminya mati akibat disengat serangga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/12
`