Jumaat,19 Disember 2014

Makam Rasulullah akan diroboh

MADINAH: Tiga masjid tertua dunia, termasuk makam Nabi Muhammad (SAW) akan dimusnahkan apabila Arab Saudi meneruskan rancangan untuk meluaskan kawasan Masjid Nabawi.

Kerja pembinaan di masjid kedua paling suci itu di Madinah, tempat Rasulullah (SAW) dimakamkan, dijadual bermula bulan depan.


Akhbar The Independent melaporkan, berdasarkan pelan cadangan, kawasan itu akan dibangunkan semula, termasuk pembinaan masjid yang boleh memuatkan 1.6 juta jemaah.

Pembinaan semula itu dijadual dilakukan di bahagian barat masjid sedia ada. Selain makam Nabi (SAW), kawasan itu juga menempatkan makam Saidina Abu Bakar dan Omar.


Di luar tembok bahagian barat perkarangan yang ada sekarang ialah masjid yang diabadikan kepada Abu Bakar, Omar dan Masjid Ghamama yang dibina bagi menandakan tempat Rasulullah (SAW) dipercayai menunaikan solat pertama hari raya. Pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk mengekalkan ketiga-tiga masjid itu yang wujud sejak abad ketujuh, lapor The Independent.


Negara itu membelanjakan berbilion dolar untuk membangunkan Makkah dalam usaha untuk membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah.

Lebih 10 juta orang mengunjungi bandar suci itu sepanjang tahun untuk melaksanakan ibadah berkenaan. Pada musim haji baru-baru ini, kira-kira empat juta orang menunaikan rukun Islam kelima itu.


Ini bukan kali pertama pihak berkuasa Arab Saudi meruntuhkan kawasan bersejarah di Makkah dan Madinah bagi projek pembangunan semula.

Negara itu meruntuhkan Kubu Ajyad yang dibina pada era Uthamniyah untuk projek komp- leks Jabal Omar. Ia juga melaksanakan projek pembangunan baru di tempat kelahiran Rasulullah (SAW) serta rumah isteri pertama baginda, Saidatina Khadijah.


Institut Teluk yang berpusat di Washington menganggarkan, 95 peratus daripada 1,000 bangunan lama di kedua-dua bandar suci berkenaan dimusnahkan sejak 20 tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05
`