Selasa,23 Disember 2014

Lelaki kalah judi kena tikam

KUALA LUMPUR: Angkara hutang judi Internet, seorang pemandu teksi ditikam di perut dalam kejadian di Jalan Riong, Bangsar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, lelaki berusia 30-an itu kalah berjudi di sebuah pusat judi Internet berhampiran sebanyak RM3,000 sebelum cuba melarikan diri ke sebuah restoran berdekatan.


Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40-an berkata, ketika dia makan bersama rakan sekerja, dia nampak pemandu teksi itu berjalan dari pusat judi Internet ke arah teksinya.

Menurutnya, pemandu teksi itu diikuti pekerja premis pusat judi itu dari belakang dan selepas lelaki itu masuk dalam teksinya, pekerja premis itu menariknya keluar sebelum membawanya ke restoran tempat kejadian untuk berbincang.


Katanya, pemandu teksi berkenaan mengambil pisau pemotong daging untuk keselamatan diri dan lari ke teksinya semula untuk melarikan diri.


“Namun dia terlambat apabila suspek menahannya sebelum menikam mangsa beberapa kali di perut.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan menghubungi polis dan pemandu teksi berkenaan berjaya diselamatkan dan pekerja premis judi itu ditahan polis,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12
`