Sabtu,20 Disember 2014

Lawak Fizz keterlaluan

Oleh SHAMRAN SARAHAN

KUALA LUMPUR: Akibat mulut, badan binasa. Itulah padah yang diterima pelakon Mohd Fairuz Zainal Abidin, 32, atau popular dengan panggilan Fizz Fairuz selepas membuat gurauan ‘terlampau’ di laman sosialnya, twitter, berkaitan tragedi tsunami yang menggegarkan Jepun sehingga mengakibatkan ramai mangsa terkorban, semalam.

Dalam web berkenaan, Fizz menulis: “Manalah ultraman n power ranger n doreamon dlm saat2 genting tsunami di Jepun.” Beberapa peminat Fizz Fairuz dalam web berkenaan mengkritik gurauan terbabit yang dianggap lawak tidak bertempat dan langsung tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat.


Sedar tersilap langkah, pelakon kelahiran Raub, Pahang ini enggan mengulas lanjut perkara terbabit ketika dihubungi Metro Ahad.

“Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenainya,” katanya semalam.


Sementara itu, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik menasihati aktor berkenaan supaya lebih peka dan berhati-hati dengan apa saja yang hendak dikatakan dalam laman sosial, terutama twitter dan facebook.


“Bergelar selebriti bukan tugas mudah, setiap percakapan, malah pergerakan mereka menjadi perhatian peminat dan masyarakat.

“Mungkin apa yang Fizz katakan bukan berniat mempersendakan sesiapa tetapi orang lain akan memberi persepsi berbeza dan menganggap apa diluahkannya sebagai melampau,” katanya.


Harun berkata, beliau tidak menafikan kesal dengan perbuatan Fizz Fairuz dan berharap aktor terbabit mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

“Saya mengenali Fizz sebagai pelakon, dia seorang yang ceria dan mesra. Mungkin apa diluahkannya dalam (laman web) twitter adalah untuk rakannya, tetapi lihatlah impaknya, ia membuatkan ramai peminat serta orang ramai marah.


“Jadikan kesilapan ini satu pengajaran bukan untuk Fizz saja, bahkan artis muda lain juga perlu berhati-hati dengan apa saja yang mereka hendak katakan, tidak kira di laman web manapun, facebook, twitter atau blog mereka,” katanya.


Menyentuh mengenai kejadian tsunami yang melanda Jepun, kelmarin, Harun turut meluahkan rasa simpati terhadap mangsa bencana alam terbabit dan mendoakan semoga rakyat Malaysia di negara matahari terbit berkenaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/13
`