Selasa,28 Oktober 2014

Laporan sukan Harian Metro terbaik

LAPORAN sukan Harian Metro dianugerahkan Berita Sukan Akhbar Pilihan melalui ‘Scoreboard All Star Award’ anjuran TV3 yang julung kali diadakan, kelmarin.

Penerbit, Pengacara serta Pengulas Scoreboard, Tabah Sazwan Othman berkata, Harian Metro yang sememangnya akhbar nombor satu ketika ini, semakin kukuh apabila dipilih media cetak paling dominan dalam menyediakan laporan dan ruangan berita mengenai sukan paling objektif dan dinamik serta kandungannya dapat memberi sumbangan kepada kemajuan sukan Malaysia.


“Anugerah itu bersandarkan pilihan dari seluruh rakyat Malaysia serta pengamal sukan menerusi laman sosial Scoreboard di Facebook.

“Laman sosial ini menjadi medan buat peminat serta pengamal sukan tanah air untuk berkumpul serta bertukar pendapat mengenai pembangunan serta mutu sukan Malaysia,” katanya.


Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab menerima anugerah berkenaan daripada Pengurus Unit Sukan Primework, Samsul Ismail pada majlis minum petang ‘Hi Tea Scoreboard TV3’ yang diadakan dengan kerjasama Eduport, Speedway Plus dan Comma Motosports di Subang Speedway Plus Circuit.


Selain Harian Metro, Scoreboard All Star Award turut memberikan anugerah sama mengikut kategori pilihan, yang mana Pengulas Sukan Pilihan dimenangi Abu Bakar Atan dari TV3, Atlet Remaja Pilihan, Nabil Jeffri selaku pelumba termuda memandu uji Formula Satu (F1) Lotus Racing Team serta Juara Asia, Berita Sukan TV Pilihan; TV3, Atlet Legenda Pilihan; Sharuddin Jaafar dan Atlet Pilihan 2010 dimenangi jaguh karate, R Puvaneswaran. Anugerah itu turut memihak kepada Muhd Kamal selaku Peminat Scoreboard Pilihan, Slogan Scoreboard Pilihan; Mohd Isa, Ulasan Sukan Scoreboard Pilihan; Wan Izram, Penaja Sukan Pilihan; Nestle Malaysia, Penganjur Sukan Pilihan; SportsUnite, Pelopor Sukan Pilihan; Raja Putra Shah Raja Shahar Shah sebagai pengasas X1 Jet Racing Team, manakala Anugerah Khas pula dimenangi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selaku agensi pertama yang mewujudkan dasar pembangunan sukan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (IPT).

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/24
`