Khamis,18 Disember 2014

Keistimewaan kuih akok Zainab

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Dalam perjalanan ke Jerantut, kami terlihat gerai ini di sebelah kanan. Hari masih pagi dan kami sangat berharap apabila pulang menjelang petang gerai itu masih menjalankan perniagaannya.

Berada di Pahang dan melihat gerai menjual kuih akok, rasa teringin menikmati kuih itu di Kuala Lumpur, membuak-buak.

Kuih akok mudah di dapati di mana-mana saja di ibu kota sama ada di pasar malam mahupun sekadar dijual di tepi jalan.

Walaupun ia kuih tradisional Kelantan dan Terengganu, bukan mustahil hendak menikmatinya di Kuala Lumpur.


Gerai kecil ini terletak di Kampung Paya Keladan di Jerantut, Pahang. Ia kepunyaan Zainab Jusoh yang berasal dari Terengganu.


Zainab tiada sewaktu kami singgah tetapi kami dilayan penuh mesra oleh tiga pekerjanya walaupun mereka sangat sibuk dengan pelanggan yang sentiasa bertukar ganti. Memang gerai akok ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang yang lalu-lalang.

Hanya menggunakan tiga dapur, dapat dilihat tiga gadis yang memasaknya terpaksa bekerja pantas demi memenuhi permintaan pelanggan.

Pelanggan gerai akok ini terdiri daripada mereka yang bukan hanya mahu pulang ke Pahang atau negeri pantai timur tetapi juga serata Malaysia. Ada yang datang dari selatan dan Singapura.

Resipi kuih akok sangat asas iaitu seperti resipi bengkang biasa yang menggunakan telur, tepung, santan dan gula. Walaupun perasa lain sudah dikomersilkan seperti perasa pandan, rasa asal masih menjadi pilihan.

Gerai ini sudah beroperasi kira-kira tiga tahun setiap hari bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang. Harga jualan ialah RM1 bagi dua keping, begitu kata salah seorang pekerjanya, Nor Shahriza Mohd Sanusi, 24.

Paling lega apabila setelah merasa akok yang siap dimasak, rasanya tidak terlalu manis. Memang benar, apabila ia menggunakan kaedah tradisional, rasanya lebih enak daripada biasa.

Tarikan kaedah tradisional ini menyebabkan ramai yang singgah. Melihat cara kuih dibakar menggunakan sabut kelapa tentu saja mahu membandingkan dengan yang biasa dimakan di pasar malam menggunakan kaedah pembakaran moden.

Menggunakan api di bahagian bawah dan pembakaran sabut di bahagian atas membuatkan kuih akok gerai ini masak dengan serata.

“Kami mempunyai pembekal sabut sendiri cuma kalau hari hujan susahlah sikit kerana sabut basah,” katanya.

Cara memasak menggunakan pembakaran sabut sangat remeh. Bukan hanya prosesnya yang sukar tetapi juga asap yang banyak dari sabut.

Namun kehadiran asap yang banyak tidak melengahkan tiga gadis itu memasak. Segala-galanya dilakukan dengan pantas daripada proses memukul adunan, menuang ke dalam acuan, menutup dan meletakkan sabut yang dibakar di atasnya seterusnya kuih perlu dialih-alih bagi memastikan ia betul-betul masak.

“Disebabkan ramai yang menunggu, kami terpaksa cepat memasaknya, ia tak boleh dibiarkan lama di atas api.

“Untuk kuih kelihatan cantik, memang perlu tunggu 15 minit tetapi kami tidak dapat tunggu 15 minit kerana pelanggan yang ramai oleh itu, proses membakar perlu disegerakan,” kata Nor Shahriza.

Pelanggan yang singgah pula tidak membeli sekadar seringgit dua tetapi membeli dalam kuantiti yang banyak. Masing-masing tidak sabar menikmati kuih akok yang dibakar secara tradisional kerana tahu rasanya pasti lebih sedap dan istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15
`