Ahad,21 Disember 2014

Jom belajar masak!

Oleh Hartati Hassan Basri

DALAM kesibukan jadual hariannya sebagai pelakon, penyanyi, pengacara, duta produk dan kini membimbing protege untuk program Mentor musim lima, Erra Fazira masih mampu mencari masa untuk belajar memasak.

Sebagai isteri dan ibu, Erra mengakui menjadi tanggungjawabnya menyediakan hidangan untuk suami dan anak tetapi katanya, akhir-akhir ini agak jarang ke dapur.

“Saya memang suka masak dan sejak zaman anak dara lagi sering ke dapur membantu ibu. Tapi sekarang, masa untuk ke dapur sudah berkurangan. Kami selalunya makan di luar dan kalau makan di rumah pun, ada pembantu yang menyediakan makanan kerana sudah diajar menyediakan juadah mengikut selera kami.

“Kalau betul-betul ingin masak, barulah saya ke dapur. Kata orang, kalau lama tidak memasak, bimbang sentuhan itu akan hilang. Jadi, timbul idea mengadakan kelas memasak, dapat juga melakukan aktiviti bersama peminat dan juga kawan-kawan yang berminat.


“Apabila perkara ini saya cadangkan dengan kawan-kawan, mereka memberi sokongan. Sebagai permulaan, biarlah secara kecil-kecilan dulu membabitkan 20 peserta dan kalau sambutannya bagus, kita akan adakan untuk beberapa sesi,” katanya.


Sebagai permulaan, kelas memasak ini diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala pada 13 Februari lalu dan ia mendapat sambutan menggalakkan dan turut dihadiri rakan-rakan seperti bekas pengacara masakan Kuali, Laila Johari dan juga penerbit Produksi Seni 2020, Wani Wong Abdullah (Wendy Wong).

Kelas dinamakan Mari Memasak Bersama Kak Ruby itu diajar pelakon Rubiah Suparman yang juga pemilik Restoran Puteri dan mereka belajar tiga jenis masakan, rendang daging, masak lemak nangka dan kuih lompat tikam. Bayaran RM150 dan setiap peserta berpeluang memasak sendiri bersama Rubiah.

Erra berkata, apa yang membanggakan kerana mereka gembira dengan aktiviti dijalankan dan datang dengan bersantai dan berseronok.

“Sebenarnya sebelum ini saya menjadikan minat menggubah sebagai satu aktiviti masa lapang dengan membuat hamper dan cenderahati untuk majlis ulang tahun atau perkahwinan. Saya buka syarikat, Eea’s One Stop dan sewa pejabat di Serangkai Filem Sdn Bhd.

“Menjelang Aidilfitri, saya sibuk membuat hamper yang ditempah bersama rakan-rakan. Kini aktiviti berkembang dengan kelas memasak pula. Untuk aktiviti kedua, Bengkel Cup Cake Bersama Lynnhassan.

“Peserta akan belajar membuat kek cawan daripada proses membancuh hinggalah menghias. Bayaran RM160 dan ia akan diadakan di MySugarclass, Jalan Bidara 10, Saujana Utama, Sungai Buloh pada 12 Mac, dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.

“Saya tidak sabar untuk belajar tiga jenis kek cawan pada hari itu dan hasilnya boleh dibawa pulang sebagai bukti. Berminat, boleh hubungi Maria 013-33012409,” katanya.

Akui Erra, jadualnya memang padat dengan aktiviti seni apatah lagi apabila program Mentor 5 sudah bermula. Erra memilih gadis kelahiran Tawau, Sabah, Salmah A Asis atau Salma sebagai protege dan cabaran pertama bermula esok (Ahad) apabila semua protege dan mentor mengadakan persembahan pengenalan.

“Saya sudah susun jadual saya dengan baik dan penuh sepanjang tahun ini. Bagaimanapun, ada kalanya jadual itu terpaksa diubah hingga ada masanya saya sibuk sangat dan ada masanya banyak masa lapang.

“Antara yang terdekat, menjayakan telefilem untuk Astro pada Mac dan mengacara beberapa program seperti travelouge pada April dan satu program masakan untuk Ramadan. Walaupun menjadi wajah eksklusif Astro, saya hanya terikat untuk lakonan tetapi boleh mengacara atau menyanyi untuk stesen lain,” katanya.

Mengenai rumah tangganya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang sering menjadi sasaran gosip, Erra berkata, dia tidak seharusnya melatah dengan gosip itu kerana ia hanya diperkatakan orang luar tetapi hakikat sebenar, dia dan suami lebih tahu. Rumah tangga yang dibina pada 25 Oktober 2007 itu tambah bermakna dengan kehadiran buah hati mereka, Engku Aleesya.

“Saya tidak seharusnya melatah dengan bertanya suami akan gosip disebarkan kerana perkara itu hanya akan membuatkan rumah tangga yang tenang menjadi sebaliknya. Saya percaya dengan suami, begitu juga dirinya,” katanya.

Erra tidak mampu berselindung apabila ditanya kejutan suami sempena ulang tahunnya yang ke-36 pada 8 Februari lalu. Katanya, kebetulan pada hari sama rakan-rakan ada membuat perancangan untuknya dan Emran hanya memaklumkan perkara itu pada saat akhir sebagai kejutan.

“Saya ada perancangan lain dan dia juga ada perancangan lain, hingga Emran gelabah. Akhirnya, bukan saya mendapat kejutan sebaliknya rakan-rakan yang menanti saya terkejut kerana saya sudah tahu.

“Saya gembira dan terharu apabila suami merancang kejutan itu dengan rakan-rakan seperti Umie Aida, Vee, Vanidah Imran, Ning Baizura dan Betty Banafe.

“Mengenai hadiah, seperti biasa setiap kali menyambut ulangtahun, saya dan Emran lebih suka membeli hadiah yang diinginkan kerana ia akan lebih dihargai. Kali ini saya mahukan beg LV (Louis Vuitton) dan Emran akan membawa saya membelinya untuk memilih beg yang saya inginkan,” katanya.

Kata Erra, suaminya juga meluangkan masa untuk bersamanya apabila ada komitmen tugas seperti menemaninya ke Pulau Pinang ketika menjayakan promosi Steadler pada cuti Tahun Baru Cina, awal Februari lalu.

“Emran sibuk dengan kerjanya, begitu juga dengan saya. Tapi kalau ada peluang, kami akan bercuti. Ianya detik yang cukup membahagiakan apabila saya, Emran dan Aleesya bercuti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/04

Artikel Lain

`