Sabtu,29 November 2014

Jadi modal insan terbaik

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Holistik dalam konteks pembangunan modal insan tidak terbatas kepada disiplin ilmu dan pemantapan kemahiran, tetapi merangkumi aspek pembangunan minda, rohani, sahsiah serta etika.”

Demikian harapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pelajar cemerlang yang dianugerahkan Surat Tawaran Biasiswa Nasional 2013 di sini, semalam.


Katanya, pembangunan insan holistik itu membolehkan transformasi berlaku dalam konteks lebih luas membabitkan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

“Modal insan seimbang akan memastikan tenaga kerja negara yang kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan membolehkan mereka bersaing di persada antarabangsa dalam gelanggang lebih luas,” katanya pada majlis dihadiri 50 pelajar cemerlang yang memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.


Biasiswa Nasional itu tajaan untuk 50 pelajar paling cemerlang bagi mengikuti pengajian ke universiti terkemuka peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara.


Program penajaan itu bertujuan menyediakan biasiswa berprestij untuk pelajar lepasan SPM dalam melahirkan modal insan berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara pada masa depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan berharap penganugerahan seperti itu akan mendorong dan menggalakkan institusi pendidikan, guru, ibu bapa dan pelajar terus memainkan peranan masing-masing bagi menentukan sahsiah pelajar.


Katanya, cara itu membina dan melahirkan rakyat Malaysia dengan personaliti unggul yang seimbang dari segi intelek, rohani, kemahiran, ketrampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan mengamalkan nilai murni.

Sementara itu, penerima biasiswa Nabil Izzularif Mohamad Safiai, 18, dari Mantin, Negeri Sembilan, berkata, dia menghargai keprihatinan kerajaan membiayai pembelajarannya ke Australia.


Bercita-cita menjadi jurutera elektronik, bekas pelajar Sek Men Sains Tuanku Munawir Seremban itu berazam belajar bersungguh-sungguh dan pulang menabur bakti kepada negara.


“Guru pendorong terbaik untuk saya cemerlang dalam pelajaran,” katanya.


Bagi bekas pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Wan Mohd Azril Wan Hasnuddin, 18, yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan memberitahu, kakak saudaranya yang juga doktor sumber inspirasinya memilih bidang berkenaan.


“Ireland atau United Kingdom impian saya melanjutkan pelajaran dalam perubatan kardiologi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02
`