Jumaat,31 Oktober 2014

Istimewa baulu Maktam

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GEORGETOWN: Baulu antara kuih tradisional yang lazimnya menjadi hidangan utama pada Aidilfitri kerana keenakannya.

Tidak hairanlah sambutan terhadap kuih baulu bukan saja pada musim perayaan, malah turut menjadi pilihan sebagai buah tangan untuk majlis korporat atau perkahwinan.


Terdapat tiga jenis kuih baulu iaitu baulu cermai yang bersaiz kecil, baulu lapis dan baulu gulung.

Pembuat dan penjual kuih baulu warisan keluarga, Siti Norwadiana Md Hussein, 45, berkata, bagi membuat baulu, ia mempunyai cara dan sukatan tersendiri bagi memastikan keenakan serta kualitinya.


Cara penyediaannya juga mudah dan ringkas iaitu menggunakan telur, gula pasir, tepung gandum dan minyak sapi atau minyak masak.


“Semua bahan itu diadun dalam satu bekas dan dimasukkan ke acuan sebelum dibakar dalam ketuhar. “Pelbagai acuan kini boleh didapati di pasaran seperti berbentuk bunga, ikan, cengkerang, buah dan lain-lain lagi yang lebih moden.

“Biasanya, baulu dibuat dua minggu sebelum tarikh dikehendaki bagi menjamin mutu dan ketahanannya,” katanya yang meneruskan perniagaan baulu warisan ibunya, Manis Ali, yang terkenal di Balik Pulau dengan nama Baulu Maktam, sejak 12 tahun lalu.


Siti Norwadiana berkata, ketika ibunya masih aktif membuat baulu, hanya ketuhar bersaiz kecil digunakan dan pengeluarannya terhad berbanding ketuhar keluaran moden bersaiz lapan meter panjang dan empat meter lebar yang boleh memuatkan 18 acuan pada satu masa.

“Saya mempunyai tiga ketuhar moden dan ia boleh menghasilkan 4,200 biji baulu sehari bergantung pada permintaan. “Selain bahulu, turut dijual ialah aneka kuih yang menjadi sebutan pelanggan tempatan, agar-agar kering, kuih bangkit dan lain-lain lagi di bawah label Warisan Maktam Enterprise.


“Harga dijual juga berpatutan dengan promosi perayaan iaitu 100 biji baulu dengan harga RM19,” katanya yang mula aktif membuat baulu resipi ibunya sejak dua tahun lalu.


Bagi yang ingin melakukan tempahan boleh berkunjung ke alamat Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok, 584 Mukim D Jalan Baharu, Balik Pulau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/27
`