Ahad,26 Oktober 2014

Isi borang sumpah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan akan diminta mengisi borang bersumpah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani kebarangkalian berlakunya penipuan untuk mendapatkan bantuan disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berkata, pihaknya sedia maklum dengan sikap segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana tujuan tertentu termasuk menjaga harta benda.


“Kita tidak boleh memaksa mereka untuk berpindah kerana kemungkinan mereka ingin menjaga harta benda, tetapi menjadi masalahnya apabila kita ingin memberi wang ihsan kepada mereka.

“Mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan akan didaftarkan melalui e-JKM dan kita berhasrat untuk menyampaikan bantuan itu ketika mereka berada di pusat pemindahan dalam masa tiga hari.


“Bagi mereka yang tidak berpindah, mereka tetap mangsa banjir dan layak menerima bantuan, tetapi perlu berdaftar dengan pejabat daerah di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Peringkat Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.


Beliau yang juga pengerusi JPBP berkata, bagi mengelak berlakunya ketirisan wang bantuan yang disediakan, pihaknya bersetuju untuk menyediakan borang bersumpah SPRM bagi diisi mangsa yang memohon bantuan berkenaan.

“Mereka hanya perlu mengisi butiran peribadi dan menandatangani borang bersumpah itu sebagai tanda mereka bercakap benar dan sekiranya didapati menipu, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.


“Jangkaan banjir di Terengganu adalah pada 14 hingga 19 November, 27 hingga 30 November, 12 hingga 19 Disember dan 25 hingga 31 Disember ini,” katanya.

Menurutnya, JPBP Terengganu menyediakan 353 pusat pemindahan termasuk 15 tandas bergerak bagi kemudahan mangsa banjir.


Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai banjir dan pusat pemindahan di negeri ini boleh menghubungi laman web http://etindakan.terengganu.gov.my dan http://portalbanjir.mkn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11
`