Isnin,29 Disember 2014

Idola Kecil 6: Kemampuan luar biasa

Selepas lima musim bersiaran, ranca­ngan kanak-kanak nombor satu di Malaysia, Idola Kecil kini kembali untuk musim keenam di TV9. Dalam episod pengenalan yang ditayang­kan Sabtu lalu menyaksikan 11 peserta berusia 10 hingga 12 tahun terpilih.

Mereka ialah Abdul Razzaq Muqri Abdul Qahhar, Aby Norlila Kamaruddin, Aida Syazlina Mohammad Azmi, Ammierul Daneal Eddy Noor, Danial Cheur Hamasiah, Muhammad Aliff Kadiron,Nur Afreena Saiful Najib, Nur Afreena Saiful Najib, Nor Alleeya Nor Edwan, Nur Emilia Natasha, Razin Aiman dan Shafiqah Amira Sukor.

Kemampuan mereka bakal teruji pada konsert pertama Sab­tu ini jam 8.30 malam.

Tahun ini menjanjikan persembahan hebat dan memukau 11 peserta terbabit kerana mereka memiliki kemampuan luar biasa dan daya penarik tersendiri. Anda juga boleh me­ngikuti perkembangan dan gelagat peserta cilik ini menerusi Idola Kecil Klip Mini pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.58 petang selama dua minit bermula semalam.

Foto

11 peserta Idola kecil 6.


Klip Mini ini akan diterajui oleh Ben Laden dari Idola Kecil 5 dan stesen radio HotFM juga akan menghangatkan lagi Idola Kecil 6 dengan segmen Geng Radio untuk mempromosikan secara eksklusif semua peserta Idola Kecil 6 dengan temubual mingguan dan pelbagai aktiviti lain.


Idola Kecil 6 juga ingin memberi nafas­ baru dan sentuhan berbeza melalui tenaga pengajarnya di mana komposer muda, AG Coco atau nama sebenarnya, Hezry Hafidz dipilih sebagai pengarah muzik untuk memberikan impak lebih segar terhadap susunan muzik sambil dibantu Cikgu Delly (Fadlita Mohd Taib) yang masih kekal sebagai guru vokal.

Vokal masih lagi menjadi fokus utama bagi melahirkan bintang cilik berbakat, tetapi aspek tarian dilihat menjadi pelengkap bagi melahirkan penghibur yang serba boleh. Oleh itu tidak lengkap musim ini tanpa guru tari yang diterajui Fazrin Zainuddin atau ingin dikenali sebagai Fuzzwayne dari kumpulan Elecoldxhot.

Tugas penting sebagai juri tetap pula digalas pemenang Versus musim kedua, Tomok. Untuk konsert pertama ini, Tomok akan dibantu penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor dan Akim Ahmad sebagai juri jemputan. Pengacara Idola Kecil 6 masih lagi kekal milik Alif Satar yang dilihat sudah mempunyai keserasian untuk mengendalikan Idola Kecil.

Jangan lupa untuk saksikan 11 peserta Idola Kecil 6 berentap dalam konsert pertama 16 November ini dengan lagu-lagu pilihan mereka seperti Setengah Mati Merindu (Judika), Tiada Kepastian (Ziana Zain), Aku Permata (Salma), Kita (Forteen), Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor), Seroja ( Search), Terukir Di Bintang (Yuna), Permata (Alyah feat Ben), Samudera (Nora), Wrecking Ball (Miley Cirus) dan Pelangi Senja (Stacy).

Maklumat lanjut layari www.tv9.com.my/idolakecil6s serta geng radio HotFM di www.hotfm.com.my. Anda juga boleh layari www.tonton.com.my untuk siaran ulangan Idola Kecil 6.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/13
`