Ahad,26 Oktober 2014

Hijaukan bumi kita

Oleh Mohd Amin Jalil

KUALA PILAH: Seramai 120 peserta daripada kalangan Ahli Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) Seremban dan pelajar Universiti Al-Madinah Cawangan Shah Alam menjayakan aktiviti menanam pokok sempena kempen alam sekitar di Hutan Lipur Ulu Bendol (HLUB), dekat sini, baru-baru ini.

Program anjuran PBDB dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan itu adalah sebahagian aktiviti Remaja Perdana Rakan Muda yang disokong Kementerian Belia dan Sukan.


Pengerusi PBDB, Zaharuddin Abd Majid berkata, selain aktiviti menanam 150 pokok, peserta turut bergotong-royong membersihkan kawasan hutan lipur berkenaan selain Taman Ular Sawa terletak berhampiran.

Katanya, program itu mendedahkan golongan remaja dan belia kepentingan memulihara alam sekitar selain menyemai rasa sayang dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.


“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan muda, PBDB berharap menerusi aktiviti seperti ini dapat membantu agensi kerajaan berkaitan, sama-sama memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara.


“PBDB akan terus berusaha menarik lebih ramai remaja dan golongan belia menyertai aktiviti seperti ini pada masa depan bagi memastikan kempen hijau yang disaran kerajaan dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya selepas majlis perasmian penutup program yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Terdahulu, Abdul Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, memuji usaha PDBD kerana berjaya menarik penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan berharap program diteruskan dari semasa ke semasa dengan penyertaan lebih ramai anggota masyarakat.


Beliau berkata, HLUB antara destinasi pelancongan terkenal di negeri ini apabila dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negeri dan sewajarnya kebersihannya dijaga.

“Saya yakin menerusi program ini bukan saja memupuk semangat cintakan alam sekitar dan kebersihan di kalangan golongan belia tetapi juga dapat menjaga imej hutan lipur ini yang sering dikunjungi orang ramai serta pelancong.


“Program ini juga dapat mengetengahkan fungsi Jabatan Perhutanan kepada golongan belia dalam memelihara dan menguruskan hutan serta kepentingan alam sekitar kepada kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21
`