Jumaat,24 Oktober 2014

Harap silap China

PETE Waterfield percaya dia dan rakan terjunnya, Tom Daley mampu menang pingat emas di Sukan Olimpik itupun jika penerjun pilihan dari China melakukan kesilapan.

Gandingan atlet Britain yang bertanding dalam acara 10m platform, meraih pingat perak dalam pusingan terkini Siri Dunia FINA di Beijing minggu lalu dan Waterfield berkata keputusan itu meningkatkan momentum mereka untuk persediaan
ke London.


Penerjun China, Cao Yuan dan Zhang Yanquan memenangi tempat pertama di Water Cube di China, tetapi Waterfield berkata jurang itu semakin rapat.

"Kami semakin menghampiri mereka. Selagi kami mara ke Olimpik dengan keadaan cergas dan bekerja keras, apa yang perlu kami lakukan adalah memberi tekanan terhadap mereka.

"Kami sedar sebelum ini, jika kami memberi tekanan terhadap mereka, terjunan akan terjejas. Pingat emas bukan sesuatu yang di luar jangkauan tetapi jika mereka terju dengan baik, anda pula yang menghadapi masalah."

Waterfield dan Daley menewaskan gandingan dari China itu pada Kejohanan Siri Dunia di Sheffield tahun lalu.

Pada acara Siri Dunia minggu lalu, Daley turut menang pingat perak individu manakala Waterfield menang gangsa individu.

Penerjun berusia 31 tahun itu berkata persaingan di antara kedua-duanya sukar dielak tetapi mereka masih kekal bersahabat.

"Kami memahami itulah rencah hidup dalam sukan dan biarpun kami bertarung antara satu sama lain, kami masih ingin supaya masing-masing melakukan yang terbaik.

"Jelas sekali, saya tidak mahu dia menewaskan saya dan begitu juga sebaliknya. Begitupun di China kami berdua berada di podium dan jika kami mampu mengulanginya di London, ia tentu hebat."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/30
`