Ahad,26 Oktober 2014

Guna helikopter cari anak kapal hilang

KOTA KINABALU: Pasukan mencari dan penyelamat akan meluaskan kawasan pencarian ke seluruh Pulau Labuan bagi mengesan seorang lagi anak kapal MT Bunga Alpinia yang masih hilang termasuk mempertimbangkan menggunakan helikopter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Zainal Madasin berkata, pihaknya mengambil keputusan itu berikutan ada kemungkinan mangsa dihanyutkan arus sehingga terlalu jauh dari lokasi kejadian.


“Usaha mengesan Muhammad Nazrin Khamsani, 20, dari Negeri Sembilan berdepan kesukaran dan bomba akan menggunakan semua kekuatan yang ada.

“Kita mungkin menggunakan helikopter bagi melakukan tinjauan udara mengesan anak kapal yang masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Setakat ini, empat mayat yang sudah ditemui adalah Shahril Azmi Baharuddin, 28, dan Mohd Hanafi Kalil, 24, kedua-duanya dari Melaka, Zahari Kassim, 46, dari Negeri Sembilan dan warga Filipina, Errol Calau-an Colangay, 22.


Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi Khamis lalu, kapal milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) meletup sebelum terbakar ketika mengisi minyak di jeti Petronas Methanol Labuan (PML), Pusat Perindustrian Rancha-Rancha, Jalan Enoe.

Kapal berpengkalan di Pelabuhan Klang itu berlabuh di jeti berkenaan sejak Selasa lalu sebelum memuatkan 21,000 tan metrik minyak dan dijadualkan berlepas ke Jepun, kelmarin.


Bagaimanapun, selepas mengisi kira-kira 6,000 tan metrik minyak, kapal itu dikatakan meletup ketika proses mengisi minyak dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30
`