Khamis,18 Disember 2014

GP Tertutup uji atlet olahraga

Kuala Lumpur: Persiapan atlet kebangsaan diuji kali pertama tahun ini apabila Grand Prix Tertutup Malaysia membuka tirai saingan di stadium latihan olahraga Kompleks Sukan Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Penarikan diri beberapa atlet utama seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin atlet pelapis mempamer kemampuan terbaik pada kejohanan berstatus ‘mini-olahraga’ itu.


Penyenaraian 17 acara utama dipertandingkan pada Sukan SEA Myanmar, pasti menjadi prospek terbaik menguji kemampuan barisan atlet muda.

Acara dipertandingkan seperti 100m, 110m berpagar, 4x100m, 400m, 800, lompat tinggi, lompat bergalah, lompat jauh, lontar peluru, baling tukul besi dan banyak lagi membuatkan kejohanan bukan sekadar makan angin.


Berita penarikan diri pelari 100m seperti Zabidi Ghazali, S Kannan dan Noor Imran Hadi akibat kecederaan dan masih belum cergas sepenuhnya mahupun pelari 400m berpagar wanita Noraseela Khalid tidak menjejaskan skuad Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Ia peluang terbaik pelari pecut wanita Siti Zubaidah (gambar) Adabi, S Komalam dan Nur Amirah Nafiah untuk menyerlah.


Kejohanan disertai atlet mencatat masa terbaik acara masing-masing tahun lalu, turut disertai atlet juara Sukan Malaysia (SUKMA).

Kelibat peserta senior seperti Adi Alifudin Hussein dalam acara lontar peluru lelaki, Lee Hup Wei (lompat tinggi) serta penyertaan dua pelari berpagar 110m Robani Hassan dan ranking pertama negara Rayzam Shah Wan Sofian pasti memeriahkan kejohanan.


“Saya harap pelari muda memberi impak serta prestasi terbaik. Mereka perlu turun dengan matlamat, memperbaiki masa dan ada fokus ke peringkat lebih tinggi,” kata Noraseela.

Jurulatih M Bala menyifatkan kejohanan itu bukan sekadar memanaskan badan.


“Tiada guna berlatih tanpa tujuan kerana persiapan adalah untuk menyertai kejohanan kompetitif. Saya mahu atlet ada mentaliti betul dan tidak memandang mudah mana-mana kejohanan menawarkan kelayakan terutamanya Sukan SEA dan mereka mesti melepasi sasaran KOM,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20
`