Ahad,21 Disember 2014

Facebook saluran perangkap

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

RAMAI yang menginginkan cinta sejati. Namun, ramai juga yang tersungkur dek terlalu mengagungkan cinta sehingga tidak sedar perkara yang dikorbankan demi pasangan.

Masing-masing mempunyai definisi tersendiri mengenai cinta. Manis, masam, pahit dan masin, semuanya ada. Namun, berbeza pula maksudnya dengan golongan yang gemar menggunakan cinta secara sengaja untuk memperdaya mangsa sehingga membawa penderitaan berpanjangan.

Biasanya mereka sanggup mempermainkan perasaan pasangan yang sengaja dilakukan atas tujuan jenayah dengan memerangkap mangsa untuk dijadikan sebagai ‘keldai dadah’.

Perlu difahami maksud keldai dadah adalah seseorang yang secara rela ataupun diperdaya untuk menjadi pembawa dadah ataupun pelbagai barang seludup yang lain secara haram dan tersembunyi ke negara lain.

Foto

DAFTAR.. sebahagian peserta melakukan pendaftaran seminar.

Foto

TERANG..Wan Hasmah meluangkan masa memberi penerangan kepada peserta seminar.


Kerana cinta, mangsa sanggup melakukan apa saja semata-mata ingin menjaga hati pasangan mereka sehingga ada yang rela membawa dadah ke luar negara untuk diserahkan kepada sindiket lain. Apabila tertangkap, barulah sedar dan menyesal kerana mengikut kata hati.


Menurut penceramah bebas, Norita Azmi, sindiket dadah bijak menggunakan pelbagai cara, ditambah dengan zaman teknologi hari ini bagi menarik perhatian mangsa untuk memperdaya mereka.

“Apatah lagi, laman sosial facebook semakin digemari oleh kebanyakan masyarakat ­tidak mengenal usia. Ini membuatkan mereka menjadi­kan saluran itu sebagai alat ­memperdaya mangsa.

“Biasanya ahli sindiket antarabangsa akan menggunakan laman sosial itu untuk menarik perhatian mereka yang mudah tertipu.

“Statistik yang dipetik daripada laporan disiarkan televisyen tempatan menunjukkan sejumlah 19 mangsa iaitu lelaki dan perempuan menjadi keldai dadah pada 2011 selepas berkenalan di facebook.

“Selain itu, mereka menggunakan lelaki tempatan untuk mencari kenalan wanita dan seterusnya memikat mangsa sehingga jatuh cinta.

“Kesempatan itulah yang digunakan oleh sindiket terbabit untuk menjanjikan pelbagai peluang menarik dan menabur janji manis untuk memperdayakan mangsa.

“Tidak cukup dengan lelaki tempatan, ada juga sindiket yang menggunakan wanita bagi merekrut ahli baru untuk memperdaya mangsa lain,” jelasnya mengenai modus operandi sindiket keldai dadah yang diperoleh daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Tambah Norita, antara contoh kes membabitkan keldai dadah berkaitan perkenalan singkat dalam laman sosial facebook. Misalnya, selepas berkenalan dengan lelaki kulit hitam tahun lalu, ia mengubah hidup seorang gadis berketurunan Dayak yang berasal dari Sarawak.

Gadis berusia 22 tahun yang pernah menuntut di Kolej Segi itu ditahan di Shenzhen, China sejak 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa negara itu menemui sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam perutnya.

Disebabkan teruja dengan bayaran RM5,000, dia dengan rela menelan 100 bungkus dadah jenis heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen.

“Pelbagai jenis dan sebab mangsa itu menjadi keldai dadah. Antaranya, mereka mudah terpedaya dengan janji dan tawaran wang lumayan dengan bekerja di luar negara oleh ejen tidak dikenali tanpa mengetahui mereka menjadi mangsa.

“Bukan itu saja, mangsa keldai dadah juga ada yang dikesan daripada golongan yang mempunyai sifat mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan serta cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing, membuatkan mereka tidak berfikir panjang sekali gus mengambil keputusan terburu-buru hingga memakan diri sendiri.

“Selain itu, kebanyakan mangsa juga menghadapi masalah kewangan sehingga sanggup mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang yang banyak.

“Malah ada juga yang terjebak dengan kata-kata manis dan akhirnya jatuh cinta menerusi facebook tanpa mengenali latar belakang sebenar pasangan,” katanya kepada lebih 100 peserta seminar terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Seminar bertajuk Menifestasi Cinta anjuran bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan dan Usim bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendedahan awal agar mereka tidak terjebak dengan keldai dadah.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd. Turut hadir pada seminar terbabit, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Usim, Nazrul Hakim Ahmad.

Sementara itu, bagi peserta seminar, Nurulamira Mohd Azmi, 23, masalah itu disifatkan berpunca daripada desakan hidup kerana trend generasi muda hari ini yang inginkan hidup mewah.

“Ditambah dengan keadaan mereka yang masih belajar dan perlu menggunakan duit banyak selain cuba mencari alternatif mudah untuk melancong ke luar negara.

“Nasihat saya kepada generasi muda agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada kerana Tuhan itu maha adil dan sebenarnya tiada jalan mudah untuk mencari duit.

“Tanggungjawab pelajar adalah belajar bersungguh-sungguh dan cuba berusaha sendiri dengan jalan yang betul jika mereka ingin menambah pendapatan.

“Banyak usaha yang boleh dilakukan dan ingatlah jika hidup terlalu mudah sangat ia tidak akan mencabar,” katanya.

Menurutnya, seminar berkenaan memberi kebaikan khususnya untuk generasi muda kerana memang perlu mendapat pendedahan agar tidak terjebak dengan masalah keldai dadah.

“Pada masa sama, ia juga dapat memberi pendedahan kepada orang lain yang rapat dengan kita misalnya ibu, kakak dan adik untuk sama-sama memberi nasihat mengenai masalah ini,” katanya.

Bagi Siti Nadhirah Mohamed Hassan, 23, yang bertindak sebagai pengarah seminar berkata, golongan yang terjebak dengan masalah ini rata-rata mudah terpedaya dengan pujuk rayu dan janji manis pasangan atau rakan yang baru dikenali.

“Demi cinta, wanita sanggup melakukan apa saja. Jika salah mentafsirkan makna cinta, ia akan mengundang ke arah pilihan jalan yang negatif kepada diri mereka sendiri.

“Jadi, seminar ini dianjurkan supaya pelajar mendapat pendedahan daripada awal agar mereka lebih berjaga-jaga supaya tidak terjebak dengan masalah ini.

“Selain itu, maklumat yang diperoleh juga boleh disalurkan atau dikongsi bersama rakan lain dan ahli keluarga,” jelasnya.

Tambahnya, pelajar di institusi pengajian tinggi perlu mengaktifkan diri dengan program ilmiah supaya mereka memahami isu terkini bagi mengelakkan diri daripada terbabit secara sengaja ataupun tidak.


Pergi seberang naik perahu,
Perahu berisi jerami padi,
Cinta adik abang tak tahu,
Cinta adik sampai ke mati.




Fakta

Modus operandi:


● Sindiket dadah antarabangsa pada era kini bijak dengan menggunakan saluran baru atau popular seperti laman sosial facebook untuk merekrut wanita tempatan.

● Terdapat juga sindiket yang menggunakan lelaki tempatan untuk mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.

● Ada juga sindiket yang melantik wanita untuk merekrut anggota baru menjadi keldai dadah.

Mangsa yang dikenal pasti mudah terjebak untuk menjadi keldai dadah:

● Wanita tempatan
● Pelajar
● Janda atau ibu tunggal
● Pekerja berpendapatan rendah

Wisma Putra menggariskan lima langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa:

● Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan.

● Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta.

● Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui.

● Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat.

● Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang disyaki kesahihannya.

● Jangan berkorban apa saja demi cinta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/26
`