Isnin,24 November 2014

Evolusi baju Melayu

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Sudah menjadi resam kemeriahan sambutan bulan puasa tidak lengkap tanpa kehadiran bazar Ramadan. Ibarat lubuk, bazar Ramadan menjadi tumpuan bagi pembeli untuk mendapatkan barang keperluan sempena menyambut lebaran nanti.

Begitu juga dengan peniaga kecil dan penjaja, kehadiran bulan Ramadan ini juga sebagai penanda rezeki yang boleh dinikmati jika rajin berusaha.


Biasanya golongan wanita menjadi orang yang paling sibuk membuat persiapan apatah lagi sebahagian besar barangan di bazar Ramadan cukup sinonim dengan mereka terutama membabitkan pakaian dan perhiasan diri.

Tahun ini paling mencuri tumpuan apabila peniaga pakaian baju Melayu juga tidak mahu ketinggalan dan mula menunjukkan evolusi dalam penghasilan reka bentuknya.


Penyelia butik Lat’s Collections (Lat’s) yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Abd Aziz Muhamad berkata, pihaknya menyediakan empat koleksi terbaru khas untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.


“Sasaran pihak kami adalah pembeli daripada golongan muda dan remaja. Justeru, Lat’s hadir dengan konsep yang nampak muda dengan memberi kelainan dalam rekaannya tetapi masih menerapkan unsur keaslian baju Melayu.

“Ini dapat dilihat melalui teknik jahitan, gabungan warna yang lebih berani serta rekaan berlainan menjadikan baju Melayu kali ini tampak lebih segar dan mengikut peredaran zaman.


“Konsep baju Melayu seperti ini berjaya menarik perhatian apabila bilangan pelanggan muda kami semakin meningkat dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Lat’s menyediakan lebih 3,000 pasang baju Melayu yang terdiri daripada rekaan tampal dada, ‘KPT Style’, ‘piping’ dan jahitan ‘besbok’, selain beberapa rekaan baju Melayu tahun lalu.


“Rekaan pembuatan baju Melayu tahun ini lahir hasil daripada idea kakitangan Lat’s sendiri yang banyak membuat kajian terutama berdasarkan rekaan baju tahun lalu.


“Selain itu, kami juga menerima pandangan serta cadangan daripada pelanggan tetap dan orang ramai mengenai kehendak mereka dalam pembuatan baju Melayu.


“Alhamdulillah niat kami untuk menyemai semangat orang muda memakai baju Melayu sepanjang hari ketika Aidilfitri berjaya, memandangkan baju ini lebih mengikut cita rasa mereka dan peredaran masa,” katanya.


Bagi pengusaha jenama baju Melayu C&C Nilam, Muslim Bakir, 38, pihaknya sentiasa menitikberatkan pemilihan fabrik kain dalam mencari kelainan pakaian yang dijual.


“Ketika ini, semakin ramai peniaga yang bergiat dalam penjualan baju Melayu menjadikan persaingan bertambah sengit.


“Oleh itu, sebagai peniaga dan terbabit sendiri dalam pembuatan baju Melayu, kita perlu hadir dengan idea dan konsep tersendiri bagi memberi pilihan produk kepada pelanggan.


“Saya pula lebih menekankan penggunaan material kain baju Melayu. Seperti tahun lalu, saya masih menggunakan kain jenis denim.


“Bagi mencapai kepuasan dan kehendak yang diingini, saya pergi sendiri ke kilang memproses kain bagi menempah kain berkenaan.


“Kain denim ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai kerana selesa, tidak panas serta ‘melekat’ pada badan ketika dipakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23
`