Isnin,24 November 2014

Dua pelajar OKU cemerlang

JOHOR BAHRU: Kecacatan fizikal yang dialami sejak dilahirkan tidak menjadi penghalang kepada dua pelajar kurang upaya untuk muncul pelajar cemerlang sempena Majlis Konvokesyen ke-46 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai di sini, semalam.

Pelajar berkenaan, Ruzimi Mohammed, 26, dan Nik Mohd Firdaus Nik Zainal Abidin, 27, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak pernah merasakan kekurangan yang ada sebagai kelemahan untuk menempuh cabaran kehidupan.


Sebaliknya, Ruzimi yang mengalami kecacatan di bahagian kaki dan tangan, cekal menimba ilmu di peringkat program Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat sejak tiga tahun lalu biarpun hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

Berkat usaha gigih itu, dia yang juga anak bongsu daripada 10 beradik berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 sekali gus merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Program Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat.


Ruzimi berkata, pada awalnya dia berasa keliru apabila ahli keluarga kurang bersetuju dengan cadangannya untuk menyambung pengajian di universiti itu berikutan bimbang keselamatan dan keadaan kesihatannya.


“Bagaimanapun, demi mengejar cita-cita untuk memperoleh sarjana dan muncul sebagai usahawan, saya berjaya memujuk mereka dan belajar berdikari ketika melanjutkan pengajian di sini.

“Bagi individu seperti saya, kejayaan itu bukan sesuatu perkara yang mudah, namun dengan usaha gigih dan doa ibu bapa, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.


“Saya bersyukur kerana berpeluang menimba pengalaman sebagai usahawan sambilan dengan mengusahakan gerai menjual pelbagai jenis peralatan menulis di kawasan kampus universiti ini di mana pada setiap hari saya akan mengulang kaji pelajaran mulai jam 8 malam sehingga awal pagi,” katanya.

Sementara itu, bagi graduan program Sarjana Sains Komputer, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat, Mohd Firdaus, hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan tinggal berjauhan dengan sanak saudara tidak semudah yang disangka.


“Saya sentiasa berpegang kepada nasihat keluarga dan melipatgandakan usaha untuk berjaya. Alhamdulillah saya yang bergantung kepada kerusi roda banyak dibantu oleh rakan dan keluarga angkat di Johor.


“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan insya-Allah jika berpeluang saya akan sambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan,” katanya yang memperoleh CGPA 3.62.


Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/27
`