Jumaat,26 Disember 2014

Drama Teduhan Kasih raih tontonan tertinggi

Oleh Abie Abdullah

Petaling Jaya: Drama rantaian Teduhan Kasih yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3 menjadi pilihan nombor utama penonton Malaysia dengan meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.6 juta (15.2 TVR) atau 53% syer penonton (Total 4+) untuk episod akhir pada 2 Julai lalu.

Sumber audit Nielsen Audience Measurement mendapati secara pukal, kadar tontonan episod akhir itu telah mencecah 4.1 juta penonton sepanjang siaran selama satu jam itu.


Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9 Sherina Nordin, episod akhir Teduhan Kasih juga menguasai 75% jumlah penonton Melayu berbanding stesen televisyen lain. Lebih membanggakan, ia juga mencatat jumlah penonton tertinggi iaitu 1.7 juta penonton, bersamaan 67% dalam kalangan pelanggan Astro. “Perkembangan ini terus mengukuhkan lagi kedudukan terunggul TV3 di semua platform iaitu saluran TV percuma, saluran TV berbayar dan digital media. “Sambutan sangat memberangsangkan sejak ia bersiaran pada 15 Mei lalu, kami teruja dan amat terharu dengan sokongan diberikan penonton setia TV3 sehingga mencipta rekod baru untuk drama bersiri slot Akasia yang bersiaran pada waktu petang dengan syer penonton sebanyak 53% dan jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.6 juta. “Dengan itu, kami berharap agar terus menerima sambutan hebat daripada jutaan penonton kami agar TV3 kekal sebagai saluran TV pilihan nombor satu negara,” katanya. Bukan sahaja di kaca televisyen, Sherina menambah, Teduhan Kasih juga mencipta rekod baru dalam sejarah Tonton apabila ia drama pertama yang mencatat tontonan video tertinggi hampir tiga juta sepanjang musim termasuk episod akhir. Selain itu, 413,865 tontonan tercatat menerusi LIVE TV sepanjang musim di laman web www.tonton.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05
`