Isnin,22 Disember 2014

Diserang enam lanun

Oleh IBRAHIM ISA

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya mematahkan cubaan sekumpulan enam lanun warga asing merompak kapal dagang MT Scorpio di perairan Tanjung Piai, di sini, kelmarin.

Kumpulan lanun terbabit dipercayai merancang rompakan besar dengan merampas kapal dagang berkenaan selain menjual diesel kepada kapal lain di perairan itu.


Lanun terbabit turut dipercayai memiliki rangkaian sindiket besar untuk menyamun kapal di perairan Johor, terutama kapal dagang yang bersauh.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pada hari kejadian, pihaknya menerima maklumat bahawa sebuah bot kayu yang mencurigakan mendekati MT Scorpio.


“Pusat kawalan kemudian menghubungi kapal APMM yang melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan sebaik tiba di lokasi, kami melihat sebuah bot kayu tergesa-gesa meninggalkan kapal sebelum melarikan diri ke perairan negara jiran.


“Anggota dan pegawai kami kemudian menaiki MT Scorpio yang didaftar di Tarawa Kiribati untuk melakukan pemeriksaan. Kami dapati 12 kru kapal iaitu 10 warga Indonesia, seorang China dan seorang Sri Lanka berusia antara 20 hingga 56 tahun dalam keadaan diikat.

“Pemeriksaan mendapati, tiga daripada mereka cedera ringan akibat dipukul menggunakan senjata tajam oleh kumpulan lanun,” katanya.


Menurut Adon, pemeriksaan turut menemui enam parang milik lanun terbabit ditinggalkan di sekitar kapal itu dan anggotanya mendapati seluruh ruang kapal digeledah dengan barang peribadi seperti wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit dilarikan.

Katanya, siasatan awal mendapati, enam lanun bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa parang memakai penutup muka dan menaiki kapal dagang itu sebelum menawan krunya, tengah malam Khamis lalu.


“Kami dapati sebuah kapal dagang yang berlabuh bersebelahan Mt Scorpio iaitu MT Sea Jade sibuk memindahkan diesel hasil rompakan berkenaan.


“Berikutan itu, kapten dan 12 kru kapal MT Sea Jade yang berdaftar Ulaan Batar membabitkan 10 warga Myanmar dan dua Indonesia berusia 27 hingga 47 tahun ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan.


“Mereka ditahan bagi membantu siasatan selepas kami percaya mereka ada kaitan dengan lanun yang melarikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16
`