Selasa,21 Oktober 2014

Dilema pasangan jarak jauh

SAYA terpaksa tinggal berjauhan dengan suami disebabkan faktor kerjaya. Saya membuka taska di negeri A manakala suami pula bekerja di negeri B.

Selepas lapan bulan berjauhan, suami tidak dapat menerima keadaan ini. Saya menjadi serba salah dengan ibu bapa saya. Jika hendak tutup taska itu, saya rasa sayang kerana sudah dua tahun beroperasi.

Jika hendak serahkannya kepada ibu saya untuk diuruskan, saya bimbang akan membebankannya. Apa yang patut saya lakukan bagi menggembirakan kedua-dua insan yang saya sayangi itu?

Saya tahu syurga isteri itu di tapak kaki suami. Saya memang hendak tinggal dan menjadi suri rumah, tetapi saya sayang dengan taska yang diusahakan.


Saya rasa tanggungjawab untuk taska itu sangat besar. Apa yang perlu saya buat lakukan sekarang apabila berdepan situasi ini?


AS,
Kuala Lumpur




PERKAHWINAN jarak jauh tentu ada masalahnya terutama hubungan antara suami isteri. Ini kerana tempat isteri adalah bersama suami.

Apabila suami meminta isteri tinggal bersama, sewajarnya isteri mengikut permintaan itu. Ini kerana isteri yang tidak mematuhi kehendak suami dikira ingkar atau nusyuz.

Bagaimanapun, timbul masalah apabila isteri bekerja seperti mengusahakan taman asuhan kanak-kanak. Lebih-lebih lagi ada ibu bapa yang masih mengharapkan perhatian anaknya.

Antara perkara yang boleh dibuat ialah pertama, berbincang dengan suami dalam menyelesaikan masalah perpindahan dan bekerja di taman asuhan berkenaan.

Mungkin suami dapat menerima buat sementara ketiadaan puan bersamanya. Kedua, mengadakan perancangan mengenai masa ulang-alik antara suami isteri seperti isteri datang menemui suami atau suami balik bersama isteri secara lebih kerap.
Ini tentu dapat mengeratkan hubungan.

Ketiga, memikirkan manfaat dan mudarat apabila berterusan bekerja sehingga mengancam keharmonian rumah tangga. Suami tidak boleh memaksa isteri berhenti kerja tanpa memikirkan manfaatnya kepada keluarga.

Begitu juga isteri tidak boleh berterusan bekerja tanpa memikirkan manfaat dan mudarat kepada keluarga. Ada baiknya anda berdua melakukan solat istikharah apabila buntu memilih antara berhenti kerja atau mengikut suami.

Mudah-mudahan ada jalan penyelesaian dalam usaha anda berdua.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11
`