Ahad,23 November 2014

Dibaham ikan lumba-lumba

ORLANDO: Walaupun biasanya ikan lumba-lumba adalah haiwan yang jinak dan tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh mengancam nyawa.

Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, misalnya, mengalami detik mencemaskan ketika dia dibawa melawat Sea World di Orlando, Florida, minggu lalu.


Menurut media semalam, Jillian Thomas sedang memberikan ikan lumba-lumba di taman tema itu makan apabila haiwan berkenaan tiba-tiba menyerangnya. Kanak-kanak dari Georgia itu mengalami kecederaan apabila dia digigit ikan lumba-lumba berkenaan.

Akibatnya, Jillian luka sebesar wang syiling di tiga tempat, selain bengkak tangan kiri.


Bapa Jillian, Jamie Thomas, berkata dia sempat merakamkan insiden itu dengan kamera videonya.


Berdasarkan rakaman itu, kata Thomas, Jillian jelas nyaris ditarik ke dalam air selepas pergelangan tangannya digigit ikan lumba-lumba berkenaan secara mengejut.

“Serangan itu tidak dijangka kerana ia berlaku ketika Jillian memandang ke tempat lain,” katanya. Klip video itu dimuat naik Thomas di Internet sebagai langkah menasihati ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati. Kata Thomas, perkara pertama terlintas di fikirannya ketika Jillian diterkam ialah mahu terjun ke kolam berkenaan untuk menyelamatkan nyawa anaknya. “Saya sangkakan ikan itu akan mengheret Jillian,” katanya. Walaupun luka Jillian akan sembuh, Thomas dan isterinya tetap kecewa kerana kakitangan pusat rekreasi itu menganggapnya tidak serius. Kata Thomas, dia lega kerana Jillian tidak ditarik ke dalam kolam, tetapi tidak mustahil ada orang lain akan menerima nasib lebih buruk pada masa depan. “Ia bukan serangan pertama ikan lumba-lumba di situ,” katanya. Walaupun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sea World, Thomas berkata, dia berharap pusat rekreasi itu wajar menaikkan had usia bagi kanak-kanak yang ingin menyuap makanan kepada haiwan berkenaan.


Pada 2006, dua pengunjung dewasa terpaksa membuka mulut seekor ikan lumba-lumba yang membaham tangan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Sementara itu, jurucakap Sea World berkata, tiada sebarang perubahan dijangka dilakukan di situ. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03

Artikel Lain

`