Selasa,21 Oktober 2014

Cinta hati Jamal

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

Gelagat dan gelak tawa Raja Pop, Jamal Abdillah, 53, bersama dua puteranya, Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 7, mengundang senyum mata memandang.

Orangnya nampak serius dan pendiam tetapi apabila bersama anak, jelas terserlah sifat penyayangnya. Sesekali Zaki inginkan sesuatu, dengan lembut Jamal meminta anaknya bersabar.

Kata Jamal, menghabiskan masa bersama dengan berjoging di tasik yang terletak tidak berjauhan kediaman antara aktiviti yang sering dilakukan di waktu senggang.

Kata Jamal, berjoging bukan saja bagus untuk kesihatan, tetapi membantu meningkatkan stamina. Justeru, aktiviti itu menjadi amalan hariannya sejak dulu.


Bagaimanapun, Jamal lebih selesa berjoging di waktu malam kerana cuaca lebih sejuk, selain faktor suasana jauh lebih tenang berbanding siang hari.


Selain berjoging, kata Jamal, andai tidak terikat dengan komitmen kerja, bapa penyayang ini gemar memanfaatkan masa yang ada dengan menemani Osama dan Zaki menonton televisyen, malah sesekali mereka keluar makan bersama.

“Osama dan Zaki adalah anugerah terindah Allah SWT untuk saya. Merekalah cinta hati saya dan sebagai bapa, saya berusaha memberikan kehidupan terbaik buat mereka.

“Osama menetap dengan saya manakala Zaki bergilir-gilir tinggal dengan saya dan bekas isteri. Kalau hari ini dengan saya, esok dia di rumah ibunya. Rumah saya dan bekas isteri pun tak jauh, jadi senang Zaki berulang-alik.

“Malah, saya beli rumah ini dua tahun kerana berhampiran tempat tinggal bekas isteri. Jadual seni saya padat, justeru saya sangat menghargai kualiti masa dengan anak.

“Di rumah, kami menonton televisyen bersama dan kalau anak teringin makan di luar, saya akan bawa mereka. Cuma, saya tidak macam bapa lain boleh bawa anak ke sana-sini sebab tidak selesa jadi perhatian apabila muncul di tempat awam. Saya keluar untuk bekerja dan bila perlu saja,” katanya.

Osama adalah anak hasil perkahwinan kedua dengan Intan Nur Aina manakala Zaki dengan Fatimatuzahra Samat dan mereka bercerai pada 15 Mei 2007. Perkahwinan pertama Jamal dengan Basariah Latif pada 1988 dan mereka tidak mempunyai anak.

Bercerita lanjut perihal anaknya yang dihantar belajar ke sekolah antarabangsa, Jamal akui Osama kini belajar sekolah biasa kerana ingin belajar seni dan dia perlu ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala Zaki belajar sekolah antarabangsa tidak jauh dari rumah.

Kata Jamal, dia menekankan aspek agama dan pendidikan serta mahu mereka melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tinggi.

Dari kecil, Osama dan Zaki dididik supaya tidak meninggalkan solat, malah menjadi amalan mereka sekeluarga solat berjemaah andai dia ada di rumah.

“Saya mengundang guru akademik dan muzik ke rumah untuk mengajar Osama dan Zaki. Saya nampak mereka cenderung pada seni dan boleh menyanyi.

“Malah Osama minat main dram, gitar serta bass. Saya mahu Osama masuk sekolah muzik dan sudah latih dia dari sekarang.

“Saya juga jarang marah anak, malah tidak pernah naik tangan. Bukan cara saya pukul anak. Dalam mendidik, saya percaya pendekatan psikologi lebih berkesan. Biasanya saya perli dan mereka faham saya tak suka,” katanya.

Bicara soal hati, penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu dan Perpisahan Tanpa Relamu mengaku hidupnya terasa sunyi sejak kembali solo pada 2007.

Katanya, ketiadaan teman bergelar isteri membuatkan hidupnya sangat sunyi dan berazam untuk mengakhiri zaman duda tahun depan.

“Saya rasa tiba masanya untuk saya berkahwin lagi. Itu perancangan saya buat masa ini tapi calonnya belum ada. Masalahnya, saya belum bertemu wanita sesuai.

“Saya mencari bakal suri yang ringkas, tidak banyak kerenah, berpendidikan, berbudi bahasa dan memiliki kecantikan semula jadi.

“Paling penting, dia bukan saja menerima saya kerana Jamal Abdillah, sebaliknya sukakan Jamal Ubaidillah Ali. Selama ini ramai wanita menghampiri kerana saya penyanyi terkenal, tetapi saya tidak tertarik dengan wanita seperti itu,” ­katanya.


Dendang 28 lagu P Ramlee

Selepas Konsert Kembara Seniman pada 2009 dan Konsert Jamal Abdillah 2011, Jamal akan kembali ke Panggung Sari, Istana Budaya dengan Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee Dalam Kenangan yang akan berlangsung pada 30 Mei hingga 2 Jun ini.

Istimewa, kali ini Jamal akan mendendangkan 28 lagu hit karya seniman agung Tan Sri P Ramlee bersama iringan 55 pemuzik profesional, di mana 25 daripadanya penuntut Fakulti Seni dan Muzik Universiti Tekenologi Mara (UiTM).

Konsert ini dibahagikan kepada lapan segmen, antaranya Barang Yang Lepas Jangan Dikenang, Dimanakan Ku Cari Ganti, Pancasitara, Sepanjang Riwayat Ku dan Berkorban Apa Saja.

“Sudah lama saya berhajat mengadakan konsert khas buat idola saya, Tan Sri P Ramlee. ­Bagi saya, lagu seniman hebat ini indah dan sesuai untuk persembahan pentas.

“Kalau nak tahu, saya peminat tegar P Ramlee. Setiap album, saya mesti ada sekurang-kurangnya satu lagu beliau. Jika menjayakan persembahan saya selalu nyanyikan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang dan Dimanakan Ku Cari Ganti.

“Setahun saya rancang konsert ini dan apa yang bakal disaksikan nanti adalah 100 peratus idea saya. Konsep diketengahkan nanti tidak pernah dibuat orang sebelum ini, di mana penonton akan disajikan dengan sedutan ­babak kelakar filem P Ramlee dan disambut dengan nyanyian saya yang menyayat hati.

“Saya mahu graf emosi ­penonton turun naik dan mereka akan tersentuh hati. Bagi mencantikkan lagi persembahan, saya mengundang Najwa Nasir, Azlina Aziz, Nas Adila, Musli Ramlee dan Isma Alif sebagai penyanyi jemputan,” katanya.
Kata Jamal, dia juga akan membuat satu kejutan untuk penonton pada konsertnya apabila menggayakan fesyen ala smart Kpop.

“Apabila dengar saja konsert P Ramlee, mungkin orang akan membayangkan saya memakai pakaian seperti seniman agong itu tetapi jangan terkejut kerana saya akan tampil dengan imej Kpop,” katanya.

Pada majlis sidang media kedua Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee ­Dalam Kenangan di Pustaka Peringatan P Ramlee, baru-baru ini, Jamal menyampaikan sumbangan RM2,000 untuk membaiki kembali ­pusara P Ramlee yang rosak dilanda pokok dalam kejadian ribut baru-baru ini.

Mereka yang berminat menonton konsert ini boleh mendapatkan tiket di kaunter Istana Budaya, kaunter Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan juga boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Artikel Lain