Selasa,25 November 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 24): Aduhai mama!

Oleh Samsiah Mohd Nor

SEPANJANG minggu itu perang dingin melingkari hubungan mereka. Bermula daripada pertelingkahan kecil di dalam kereta semasa menuju ke Melaka tempoh hari dan berlarutan pula dengan pelbagai insiden yang berlaku di rumah.

Rania makin memencilkan diri di dalam kamarnya. Sesekali dia terkenang peristiwa pahit yang berlaku di sekolah. Situasi tersebut makin memburukkan keadaan. Kes Shahir Fikri belum bertemu titik sudah. Tindakan gantung sekolah yang dikenakan terhadapnya ditarik semula setelah ayahnya bertemu Penolong Kanan HEM dan membuat surat rayuan. Para guru tidak berpuas hati dan mendesak Rania untuk tampil mempertahankan haknya sebagai guru yang dibiadapi.

“Dah sumpah seranah cikgu macam-macam boleh kekal lagi kat sekolah ni,” rungut Cikgu Adirah dengan muka masam kelat.

“Tunggulah, nanti lagi ramai yang akan ikut jejak langkahnya. Biadap pada guru! Baik Ren buat laporan di Bilik Disiplin. Kurang ajar pada guru, 20 markah meritnya,” nasihat Cikgu Fatimah pula.


Bingit Rania memikirkannya. Dia malas memikul bebanan itu. Malah, Penolong Kanan HEM pun telah bersemuka dengannya. Namun, diserahkan pada Penolong Kanan HEM untuk menyelesaikan masalah tersebut.


“Hati cikgu terguris ya?” tanya Cikgu Mustafa.

Hampir menitik air matanya ditegur sedemikian oleh Cikgu Mustafa. Mahunya tidak terguris setelah disumpah seranah oleh seorang manusia bergelar murid.

Ah! Malas dikenang-kenang. Fikirannya sedang kusut kala itu. Rania masukkan buku-buku yang ditanda di dalam beg manakala yang belum bertanda disusun di tepi meja. Penat menanda, Rania menggeliat lalu menghampiri jendela di kamarnya. Terpandang olehnya Ummar Qayyum bersama Rais dan Murni sedang bersantai di laman. Hati Rania berdetik melihat kemesraan antara Ummar Qayyum dengan Murni. Kedua-duanya sedang mengagah Fahim manakala Rais memerhati.

Kemudian, Rania nampak Ummar Qayyum mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya dan melihat sesuatu di skrin telefon. Seketika kemudian, dia beredar dari kumpulan itu. Hati Rania berdebar. Dapat dilihat raut serius Ummar Qayyum sewaktu berbincang dengan si pemanggil. Sedang bercakap dengan siapa Ummar Qayyum? Adakah Ummi Kalthum? Kalau betul, apa lagi mahunya? Rania rasa geram mendadak. Kerana marah, Rania turun menyaingi kumpulan itu dengan wajah masam. Melihat Rania menjeling padanya, Ummar Qayyum segera menghentikan perbualan.

“Siapa yang telefon abang?” Serius nada suara Rania bertanya.

Rais bersama Murni berpandangan. Agak terkejut dengan soalan bernada tegas daripada Rania. Serba-salah Ummar Qayyum mahu menjawab. Dia tidak menduga akan ditanya oleh Rania soalan itu di hadapan Rais dan Murni.

“Kawan abang,” sahutnya dengan wajah berbalam. Cara Rania menegur agak keterlaluan.

“Kawan abang yang mana?” tanya Rania lagi. Dadanya kian berombak. Sakit hatinya tidak terkawal kali ini.

Ummar Qayyum pandang Murni bersama Rais silih berganti. Keselesaannya diregut. Ego lelakinya dicabar. Akhir-akhir ini Rania suka buat perangai. Perkara kecil diperbesar. Ummar Qayyum menahan kesabarannya.

“Jom Ren, kita berbual di dalam,” ajaknya masih dengan suara terkawal.

“Tak payah kat dalam. Kat sini pun tak apa. Tak ada apa pun nak rahsia-rahsia. Ini semua adik-beradik,” getus Rania.

Makin serba-salah Ummar Qayyum dibuatnya. Dadanya semakin bergelora melihatkan tingkah Rania yang seperti mencabarnya.

“Siapa yang telefon abang tadi?” tekan Rania. Suaranya makin meninggi. “Ummi Kalthum kan?” serkap Rania.

Mendadak air muka Ummar Qayyum berubah. Dia segankan Rais bersama Murni yang ada bersama mereka.

“Ren, tak payahlah Ren jerit-jerit,” tegur Ummar Qayyum.

“Ren tanya baik-baik, jawab sajalah.”

“Ummi Kalthum,” sahut Ummar Qayyum dengan harapan Rania akan berpuas hati.

“Ohh, perempuan tu lagi. Dari minggu lepas dia asyik call abang, kenapa? Nak beritahu apa pula kali ni? Tak dapat hadir alumni beritahu abang, tak dapat itu ini semua nak beritahu abang juga. Mana pergi suami dia sampai semua nak beritahu abang?” Rania membentak.

Kesabarannya semakin menipis. Dia tidak suka perempuan bernama Ummi Kalthum yang selalu sangat menghubungi Ummar Qayyum.

“Kenapa Ren ni? Sejak bila Ren berubah jadi macam ni?”

“Abang baru kenal Ren ke? Sekian lama Ren memang macam ni...,” akui Rania dengan senyuman mengejek.

Puas hatinya dapat membuatkan muka Ummar Qayyum berubah rona. Sesudah berumah tangga, ramai pula perempuan yang mengadu hal dan kisah pada Ummar Qayyum. Siapa Ummar Qayyum ini? Sebelum bernikah banyak sangat kisah dengan Murni. Selepas bernikah Ummi Kalthum pula! Siapa lagi selain daripada perempuan berdua ini? Rania menjeling lagi!

“Ren, boleh kita bincang di dalam?”

Rania mendengus. Dia berpeluk tubuh dengan wajah masam mencuka. Melihat situasi yang agak tegang, Rais mengajak Murni beredar. Ikutkan hati, Murni mahu berada di situ dan mendengar perang dingin yang berlaku antara pasangan pengantin yang masih baru itu, tapi dia terpaksa akur dengan arahan Rais.

Oh, perahu layar milik mereka sedang berkocak di tengah samudera, eloklah tu, mudah sikit untuk aku main peranan, bisik Murni sendiri sambil memangku Fahim yang sudah terlelap. Murni letakkan Fahim di katil bayi di ruang tamu kedua. Ruang tamu itu lebih kecil daripada ruang tamu utama, tetapi lebih selesa bagi Murni kerana agak terlindung. Rais duduk di sofa tiga dudukan yang letaknya tidak jauh dari katil bayi. Rais mengeluh.

“Saya rasa kita perlu tangguhkan dulu tentang apa yang saya bincangkan dengan awak hari tu,” kata Rais.

Murni terdiam sejenak. Dia tidak memberikan sebarang reaksi atas kata-kata Rais.

“Awak dengar tak apa yang saya kata?”

“Awak rasa awak tak perlu berbincang dengan saya dulu sebelum awak buat keputusan itu?” tanya Murni berani. Dia rasa dia perlu bersuara juga. Rais terkejut mendengar kata-kata Murni.

“Maksud awak?”

“Saya tahu saya orang terbuang di rumah ini, tapi saya rasa saya berhak bercakap juga.”

“Cakaplah...”

“Masa awak nak menikahi saya dulu, awak dan keluarga awak tak langsung bertanya pada saya, tapi terus buat keputusan...”

“Apa awak cakap ni?”potong Rais. “Awak patut berterima kasih sebab keluarga saya terima awak.”

“Saya minta pertolongan awak dan keluarga awak ke?”

“Murni, awak lupa awak hampir membunuh bayi yang sedang awak kandung masa saya jumpa awak di klinik tu?”

“Lepas semua selesai, awak nak bunuh saya pula? “

“Apa maksud awak?” Terangkat kening Rais mendengarnya.

“Awak pernah terfikir tentang saya bila awak nak buat keputusan menceraikan saya?”

“Kan saya dah kata dulu saya berkahwin dengan awak sebab saya nak selamatkan bayi itu, sekarang Fahim dah selamat dilahirkan...”

“Jadi awak sekeluarga dah tak perlukan saya lagi dan nak buang saya?”

“Saya nak awak mulakan hidup baru.”

“Hidup baru saya sudah bermula di rumah ini,” tekan Murni Rais pandang Murni tidak percaya. “Awak sedar apa yang awak cakap? Saya berjanji saya akan bantu awak melahirkan Fahim...”

“Lepas Fahim selamat dilahirkan, awak nak bunuh saya pula?” ulang Murni lagi.

“Apa awak merepek ni Murni?”

“Saya nak ke mana lepas kena cerai dengan awak?”

“Saya dah janji akan carikan awak kerja dan rumah sewa. Awak boleh tinggalkan Fahim di sini kalau awak tak mampu nak jaga dia. Emak saya boleh jaga.”

“Semudah itu awak nak pisahkan saya dengan Fahim?”

“Masa awak nak buang dia dulu awak tak ingat?”

“Kalau saya buang dia dulu, masalah saya tak berpanjangan seperti ini. Kalau saya gugurkan dia, saya tak perlu kahwin dengan awak hanya semata-mata untuk diceraikan. Selepas bertaraf janda, awak ingat senang ke untuk saya menjalani kehidupan selepas ini? Maruah saya sebagai janda adakah semudah seperti seorang gadis? Kalau saya jumpa seseorang, semudah itukah saya akan diterima dengan taraf janda beranak satu seperti saya ini?” kata-kata Murni tegas dan keras.

“Apa awak mahu?”

“Awak tengok Ren, tanpa sebab yang munasabah pun, dia boleh tunjuk belang depan saya dan awak. Dia boleh menyoal suaminya depan kita tanpa segan silu pada kita. Awak nak saya buat macam Ren?”

“Masalah mereka tak ada kena-mengena dengan kita,” bentak Rais.

“Sekurang-kurangnya awak bertimbang rasa sikit dengan saya seperti mana Abang Qayyum begitu bertolak ansur dengan Ren.”

Rais terpana. Sedikit pun dia tidak menyangka Murni akan mempertikaikan keputusannya untuk bercerai. Sangkanya Murni tidak kisah.

“Jadi apa yang awak nak?” tanya Rais balik.

“Saya tahu saya tak berhak nak persoalkan tentang hati awak, tapi saya nak tahu kenapa awak nak ceraikan saya,” tanya Murni.

Puan Sri Zalia yang baru hendak masuk ke ruang tamu kedua itu terdengar akan kata-kata Murni. Dia terperanjat. Wajahnya berkerut. Dia berdiri di tepi ruangan masuk tanpa disedari oleh orang berdua itu. Tadi, dia perasan Ummar Qayyum bersama Rania sedang bermasam muka di laman, kali ini giliran Rais dengan Murni pula. Sampai hendak bercerai-berai pula orang berdua ini! Apa sudah jadi pada semua orang dalam rumah ini? Sudahlah hubungannya dengan suami semakin dingin hari ke hari, kini menjangkiti anak-anak pula. Ya Allah!
Bantulah keluarga ini. Hindarkanlah keluarga ini daripada duka nestapa!

“Perlu ke saya beritahu alasan saya pada awak?” Terdengar lagi suara Rais memecah gegendang telinganya. Puan Sri Zalia menahan nafas.

“Saya tahu diri saya. Saya sedar. Kerana itu, saya tak pernah pertikaikan tindakan awak selama ini walaupun awak tak pernah melayan saya seperti seorang isteri. Awak abaikan saya. Awak tak pernah sentuh saya, tapi saya akur. Saya reda dan pasrah kalau awak tak sudi nak tengok saya pun. Saya telan semuanya dengan harapan suatu hari nanti awak akan terima saya seadanya, tapi saya tak pernah menyangka awak berniat menceraikan saya setelah Fahim selamat dilahirkan,” rintih Murni.

“Awak patut tahu kenapa saya berkahwin dengan awak dulu,” tukas Rais.

Kerana malu, Murni tidak menjawab. Air matanya bergenang sudah.

“Tak perlulah awak nak pertikaikan keputusan saya.”

“Saya tahu siapa saya di rumah ini, tapi sekurang-kurangnya berilah peluang pada saya...” Rintihan Murni membuatkan Puan Sri Zalia berasa seperti ada tusukan pisau mengenai dadanya. Kasihan Murni.

“Peluang apa? Saya dah korbankan masa saya untuk selamatkan awak dan Fahim dulu.”

“Sampai hati awak,” rintih Murni lagi.

“Apa masalahnya ni Rais?” Puan Sri Zalia tiba-tiba mencelah. Dia sudah tidak tahan mendengar cerita di sebalik dinding pemisah. Mereka berdua dihampiri. Dia mahu bersemuka dengan anak menantunya. Kedua-duanya terkejut disergah Puan Sri Zalia. Murni menyeka air matanya yang sudah menitis di pipi. Rais membatu.

“Kat luar sana Ren dengan Qayyum bertelagah. Kat dalam ni kamu dengan Murni bertegang urat. Apa kena dengan kamu semua ni? Hah kamu Rais, mama dengar kamu nak ceraikan Murni. Betul?” tanya Puan Sri Zalia lagi.

Rais tidak angkat mukanya. Tiba-tiba dia berasa malu alah dengan ibunya.

“Mama tanya, betul ke kamu ada rancangan nak menceraikan Murni?” sergah Puan Sri Zalia.

Rais angguk. Puan Sri Zalia menggelengkan kepalanya. Dia duduk di sebuah kerusi kayu jati di sisinya.

“Bila agaknya kamu nak belajar jadi dewasa? Dulu, kamu yang nak berkahwin dengan Murni. Tidak ada siapa yang paksa. Sekarang, nak bercerai pula? Mazhab mana yang kamu pakai ni, Rais?”

Rais tetap membatukan diri.

“Beritahu pada mama kenapa kamu nak ceraikan Murni? Beritahu mama sekarang.”

“Saya nak mulakan hidup baru...” jawab Rais perlahan.

“Kenapa? Selama ni kamu tak ada kehidupan? Dah elok-elok duduk berumah tangga, hendak bercerai-berai pula,” tengking Puan Sri Zalia. “Masa kamu baca akad nikah hari tu, kamu dah lupa apa janji-janji kamu?”

“Mama pun tahu kenapa saya kahwin dengan Murni dulu kan? Kami tertangkap. Mama tak lupakan?”

“Mama tak lupa dan mama juga ingat tak ada siapa yang paksa kamu nikah dengan Murni,” bentak Puan Sri Zalia.

“Memang tak ada siapa yang paksa saya. Tapi saya nikah dengan dia sebab saya nak elakkan dia daripada gugurkan kandungannya. Sekarang semuanya dah selamat, saya nak mulakan hidup baru saya.”

“Dengan cara menceraikan dia? Kenapa perlu ceraikan Murni kalau nak mulakan hidup baru sekali pun?”

Rais hilang kata-kata. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab sergahan ibunya.
“Beritahu pada mama.”

“Boleh kami selesaikan masalah kami sendiri mama?” pohon Rais.

“Boleh kalau tak berakhir dengan cerai-berai,” Puan Sri Zalia memberi isyarat.

Rais mendengus. “Saya nak mulakan hidup saya mama.”

“Siapa yang halang kamu? Mulakanlah kalau nak mulakan...”

“Saya nak kahwin dengan orang lain,” kata Rais tiba-tiba. Terkejut Puan Sri Zalia mendengarnya. Murni angkat mukanya yang basah.

“Oh, nak kahwin dengan orang lain, sebab tu nak ceraikan Murni?” Puan Sri Zalia seperti mengejek.

Rais ketap bibirnya.

“Kenapa dulu gatal-gatal kahwin dengan Murni kalau nak ceraikan dia?” ulang Puan Sri Zalia seraya mengurut dadanya.

Keadaan sepi sejenak. Makcik Rohaya hampiri ruang tamu kedua lalu jengah ke ruang tamu dengan wajah keliru, tetapi diminta pergi oleh Puan Sri Zalia dengan bahasa isyarat.

Makcik Rohaya menghilangkan diri. Puan Sri Zalia masih menggosok-gosok dadanya yang berasa ketat. Kalau dahulu, Rais mahu menceraikan Murni, mungkin dialah yang paling bahagia dan akan menyokongnya. Tapi sekarang keadaan sudah berbeza. Dia sudah menerima Murni dengan sepenuh jiwa. Semakin dia mengenali Murni, perasaan sayangnya sudah tumbuh. Tambah-tambah dengan kehadiran Fahim yang comel dan montel itu.

“Kenapa kamu nak menceraikan Murni kalau pun kamu nak kahwin dengan orang lain Rais?” Suara Puan Sri Zalia mulai mengendur.

Rais lemparkan pandangannya ke luar jendela. Hatinya merintih.

“Kamu nak kahwin dengan siapa?”

“Saya nak kahwin dengan Ros Ilyani,” kata Rais perlahan.

Sudah diduga oleh Puan Sri Zalia akan jawapan Rais. Dia memejamkan matanya seketika. Dadanya berasa semakin ketat. Kalau dulu Rais mendengar kata-kata aku, takkan jadi seperti ini. Kenapa dulu saja kau tak kahwin dengan Ros Ilyani? Kenapa perlu sakitkan hati Murni bila dia dah sah menjadi isteri kau Rais? Berkata hati kecil Puan Sri Zalia.

Esakan Murni kedengaran. Fahim yang tadinya lena di katil kecilnya sudah mulai merengek. Bagaikan dapat merasa badai dan gelora yang menimpa si ibu. Murni hampiri katil bayinya.

“Kalau kamu nak kahwin dengan Ros Ilyani, kamu kahwinlah, tapi jangan ceraikan Murni,” arah Puan Sri Zalia.

Rais terkulat-kulat sedang Murni sudah pun mengendong bayinya lalu keluar dari ruang tamu kedua.

“Kamu tak kasihan tu?” Juih Puan Sri Zalia merujuk pada Murni yang telah membawa diri entah ke mana.

Rais diam juga.

“Ros Ilyani dah tahu hajat hati kau?”

“Lepas selesai hal saya dengan Murni, saya akan bincang dengan Ros Ilyani.”

“Kamu ingat semudah itu Ros Ilyani akan terima kamu kalau kamu ceraikan Murni?” tanya Puan Sri Zalia dengan nafas yang mulai tersekat-sekat.

Rais terdiam. Dia tidak mengerti, malah dia sendiri belum pasti apa akan berlaku pada masa hadapan, tetapi dia yakin Ros Ilyani akan menerimanya. Sudah dua kali hajatnya untuk memperisterikan Ros Ilyani tidak tercapai. Dahulu Haryati potong jalan. Selepas itu Murni pula jadi rintangan. Sekarang, tiada apa-apa lagi yang akan melintanginya. Dia yakin Ros Ilyani tidak keberatan, tapi dia tidak faham akan maksud ayat ibunya yang terakhir.

Dada Puan Sri Zalia makin sendat. Kepalanya berasa berat tiba-tiba. Nafasnya tiba-tiba tersangkut-sangkut. Sewaktu Rais berpusing ke arah emaknya, tubuh perempuan itu sudah pun condong ke sebelah kiri dan belum sempat Rais berlari untuk menyambut, tubuh ibunya sudah tumbang menyembah bumi. Terkulai di atas permaidani tebal.

“Mama....,” jeritan Rais bergema, menyambar banyak telinga penghuni di rumah banglo mewah itu.

Puan Sri Zalia sudah tidak sedarkan diri. Rais memangku ibunya. Murni kelam-kabut datang semula dengan bayinya. Diletakkan bayi yang ditampung di atas katil. Dia bergegas mendapatkan Puan Sri Zalia. Rania bersama Ummar Qayyum juga sudah berada di ruang tamu itu. Wajah mereka berdua pucat melihatkan tubuh Puan Sri Zalia terkulai di lengan Rais.

“Mama, mama, kenapa mama abang?” Rania sudah menangis di sisi ibunya. Rais merasai denyut nadi ibunya.

“Mama pengsan,” beritahunya pada Rania.

“Kenapa?” tanya Rania.

Esakannya berterusan seraya memanggil-manggil nama ibunya berulang kali. Dilonggarkan pakaian ibu manakala Ummar Qayyum kelam-kabut mencari nombor telefon daripada klinik swasta berdekatan. Rais pula menghubungi ayahnya.

“Ambulans dalam perjalanan,” beritahu Ummar Qayyum.

Rania sapu minyak di dada ibunya.

“Mama kenapa abang?” Rintih Rania, tetapi tidak disahut Rais. Rasa bersalahnya datang menimpa-nimpa.

Apabila ambulans tiba, Rania bersama Ummar Qayyum menaiki ambulans manakala Rais memandu kereta menuju ke klinik swasta berdekatan. Puan Sri Zalia dimasukkan ke wad kecemasan.

“Kenapa mama Ren, Rais,” tanya Tan Sri Razlan yang tiba di klinik swasta An-Nurin sejam selepas itu.

“Ren tak tahu ayah.”

“Kenapa mama, Rais?” Tan Sri Razlan berpaling ke arah Rais pula.

Rais mengetap bibirnya. Wajahnya murung. Dia tidak mampu mengucapkan apa-apa. Rasa bersalahnya makin menghimpit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24
`