Selasa,21 Oktober 2014

Cabaran baru dunia wartawan

Oleh Michelle Gun

Kuala Lumpur: “Kursus ini amat berguna kepada wartawan di negara membangun kerana kebanyakan mereka tidak diberikan latihan mencukupi,” kata peserta terbaik Kursus Kewartawanan Antarabangsa (IJF) yang juga wartawan ABS-CBN Broadcasting Corporation dari Filipina, Jefry Corullo Canoy.

Selain dia, dua lagi wartawan terpilih sebagai peserta terbaik iaitu Vu Thuy Vi dari akhbar Thanh Nien, Vietnam dan Eric Kristopher Edward Guatee dari Jabatan Penyiaran Malaysia.


Jefry, 25, menganggap program anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) selama sebulan itu mencabar selain memberi banyak pengalaman berguna kepada peserta.

“Saya berpeluang berkenalan dengan wartawan dari pelbagai negara dan kami saling bertukar pendapat serta berkongsi pengalaman dalam bidang ini.


“Justeru, saya berharap program ini diteruskan pada masa depan kerana kepentingannya dalam meningkatkan lagi kemahiran wartawan,” katanya di Majlis Penutupan IJF MPI, di sini, semalam.


Turut hadir di majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, Ahli Majlis Pentadbir MPI T Selva dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Foto

MUSTAPA (duduk dua dari kiri), Selva dan Chamil bersama sebahagian peserta kursus kewartawanan.

Vu Thuy, 26, berkata, program itu penting untuk pengamal media kerana mengetengahkan isu berkaitan bidang berkenaan.


“Menerusi program ini juga, saya berpeluang mempelajari bidang baru iaitu kewartawanan foto dan aliran media pada masa kini,” katanya yang berpengalaman selama lima tahun dalam kewartawanan. Sementara itu, Chamil berkata, wartawan sekarang berhadapan cabaran baru kerana perlu menyampaikan berita untuk penyiaran radio, televisyen, media percetakan termasuk aplikasi sosial. “Sehubungan itu, universiti yang menawarkan kursus kewartawanan perlu mengajar pelajar mempelbagaikan kemahiran penyampaian sejajar dengan teknologi semasa,” katanya.

Program IJF keenam bermula 1 September lalu hingga semalam disertai 18 pengamal media negara Asia termasuk Bahrain, Zimbabwe dan Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
`