Isnin,24 November 2014

CAK: Siapa layak jadi Salina?

“Jika novel Salina karya A Samad Said difilemkan, siapa yang paling layak menjadi Salina? Satu watak wanita Melayu paling mencabar dalam pengkaryaan novel teragung,” itulah petikan status laman sosial Facebook sutradara muda, Osman Ali yang Sha baca baru-baru ini.

Nampaknya pertanyaan yang dibuka kepada orang ramai itu mendapat maklum balas menggalakkan. Masing-masing mencadangkan barisan pelakon yang dirasakan layak menggalas watak Salina yang dicipta Datuk A Samad Said. Antara yang disebut-sebut adalah Umie Aida, Sherry Merlis, Nadiya Nissa, Maya Karin, Vanidah Imran, Ummi Nazeera. Fasha Sandha, Neelofa dan Siti Shahriza juga tidak ketinggalan. Seperti yang kita tahu, Salina digambarkan sebagai wanita cantik hingga menjadi rebutan ramai di Kota Singa. Malah dia juga berjiwa cekal dan feminisme. Bukan mudah untuk mencari pelakon sesuai kerana ia mesti ada pakej lengkap sebagai Salina sepertimana digambarkan dalam novel terkenal itu. Sebagai peminat karya hebat itu, Sha tidak sabar melihat ia diterjemahkan ke layar lebar. Adakah sentuhan Osman nanti mampu menjadikannya sehebat novel atau barangkali ia bakal menjadi satu lagi tanda aras dalam industri perfileman negara. Sha menghubungi Osman untuk bertanya lanjut mengenai perkara itu dan dia maklumkan sedang berusaha mendapatkan keizinan A Samad Said. Ia bukan perkara mudah kerana sebelum ini sudah ada beberapa pengarah dan penerbit minta izin untuk novel itu difilemkan dan dipentaskan tetapi sasterawan negara itu keberatan. Harap projek ini dapat dilaksanakan kerana ia akan jadi satu lagi khazanah ulung yang boleh dibanggakan dalam industri bahkan dapat menjadi bahan rujukan banyak pihak termasuk pelajar. Pasti ramai pengikut setia Salina juga gembira andai karya ini difilemkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/04

Artikel Lain

`